Sandakan : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah kapal disyaki membawa muatan minyak petrol tanpa kebenaran yang sah di perairan Sandakan, kira-kira 9.5 batu nautika dari barat laut Tanjung Bidadari, Rabu lalu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 5.15 petang oleh Kapal Maritim (KM) Peringgi ketika melaksanakan operasi di kawasan berkenaan.
Katanya, sebuah kapal bergerak dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di posisi berkenaan, sebelum KM Peringgi bertindak menghampiri untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan empat orang awak-awak, terdiri daripada tiga warga Malaysia dan dua warga Filipina, berusia antara 22 hingga 64 tahun. Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun begitu, pemeriksaan lanjut mendedahkan bahawa kapal berkenaan membawa muatan disyaki minyak petrol berjumlah kira-kira 150,000 liter tanpa sebarang kebenaran bertulis, dipercayai melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di sini.
Susulan itu, Suhairy berkata, lebih kurang jam 5.30 petang, kapal terbabit telah ditahan di lokasi yang sama.
Katanya, kapal bersama tekong dan awak-awak kemudiannya diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan tiba pada jam 11 malam untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Suhaimi berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan kawalan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara haram.
“Orang awam diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA