Papar : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini khususnya di Sabah menerusi pembangunan Kolej Komuniti Papar @ Sabah Digital Academy.

Institusi ini menjadi satu daripada kolej komuniti di bawah inisiatif Kerajaan Madani yang memberi fokus kepada bidang Teknologi Maklumat (IT) dan kini bergerak lebih jauh dengan penawaran program berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, penubuhan kolej komuniti itu adalah bertujuan untuk memperluas lagi akses pendidikan teknikal kepada masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan Papar dan sekitarnya.
“Kolej komuniti ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada IT, malah kita telah mengembangkan program ke arah AI iaitu satu langkah strategik sejajar dengan arus Revolusi Industri 4.0. (IR4.0).
“Ini adalah peluang besar kepada anak-anak muda tempatan untuk menguasai kemahiran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kolej Komuniti Papar di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Dr Zambry berkata, dengan kemunculan AI sebagai pemacu utama dunia pekerjaan moden, Sabah kini dilihat bersedia untuk melahirkan tenaga kerja mahir tempatan yang mampu bersaing dalam sektor digital yang semakin berkembang.
“Peluang dalam bidang AI kini sudah ada di Sabah. Dengan adanya kolej komuniti ini, saya percaya ramai anak-anak tempatan akan mendapat akses kepada ilmu dan kemahiran yang mampu membuka pintu kepada kerjaya berimpak tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, Kerajaan turut menyatakan komitmen berterusan dalam memperkukuh sektor TVET.
Beliau berkata, terdapat cadangan penambahan kolej komuniti di negeri ini namun tertakluk kepada penilaian keperluan setempat.
Katanya, ia termasuklah penyediaan fasiliti lengkap termasuk asrama, yang sebelum ini tidak termasuk dalam dasar asal kolej komuniti.
“Namun, dalam konteks Sabah dan Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman, perkara ini sedang dipertimbangkan secara serius.
“Kita perlu realistik dengan keadaan geografi dan akses penduduk luar bandar. Kemudahan seperti asrama sangat penting agar pelajar dari kawasan pedalaman tidak tercicir daripada arus pendidikan teknikal,” katanya.
Terdahulu, projek pembangunan kolej yang bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-11, Rolling Plan Pertama (RMKe-11, RP2) tahun 2017 itu siap sepenuhnya pada 2 April 2024 dan diserahkan kepada KPT.
Projek ini melibatkan skop perolehan bangunan dan skop kerja menaik taraf 10 lot bangunan empat tingkat dengan keluasan keseluruhan 4032.8 meter persegi yang terletak di Lot 32 hingga 41, Pusat Komersil Sri Alam Perdana, Papar.
Dengan kapasiti kampus seramai 360 pelajar, Kolej Komuniti Papar menawarkan dua program pengajian utama iaitu Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Perkhidmatan Logistik dengan pengambilan pertama pelajar bagi Sesi 1 dijangka bermula Julai 2025.
Konsep bangunan Kolej Komuniti Papar yang menerapkan pendekatan ‘Digital Training’ turut menyediakan ruang kolaborasi akademik-industri serta ruang Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang kondusif.
Ruang-ruang ini bukan sahaja direka untuk kegunaan pelajar dan pensyarah, tetapi juga dibuka kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dalam komuniti.
Dalam pada itu, Kolej Komuniti Papar juga ke arah mencipta sejarah sebagai institusi pertama di bawah JPPKK sebagai ‘smart campus’.
Kampus ini dilengkapi dengan peralatan akademik dan sokongan akademik yang moden dan canggih serta turut menawarkan liputan internet Wi-Fi 100 peratus di keseluruhan kawasan kampus, sejajar dengan aspirasi pendigitalan pendidikan negara.
Pihak Kementerian berharap dengan kewujudan institusi baharu ini, lebih ramai masyarakat khususnya komuniti di kawasan Papar dan sekitarnya mendapat akses kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran yang relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa.-SABAH MEDIA