HomeUtamaPolis Siasat Dakwaan Kehilangan Wanita Dalam Perjalanan ke SPRM

Polis Siasat Dakwaan Kehilangan Wanita Dalam Perjalanan ke SPRM

Read Time:1 Minute, 30 Second

KUALA LUMPUR, – Polis Kuala Lumpur mengesahkan sedang menyiasat laporan kehilangan seorang wanita berusia 42 tahun yang didakwa hilang semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menculik, susulan laporan yang diterima pada jam 3.02 petang, 9 April lalu.

“Siasatan sedang dijalankan dan beberapa saksi termasuk peguam wanita tersebut serta pegawai SPRM telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rusdi, mangsa difahamkan telah beberapa kali hadir ke Ibu Pejabat SPRM sebelum ini bagi memberikan keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan oleh agensi itu.

Sebelum ini, laporan media menyebut seorang wanita berusia 42 tahun hilang selepas kenderaan e-hailing yang dinaikinya dikatakan telah dipintas oleh tiga buah kenderaan tidak dikenali, sebelum wanita berkenaan diarahkan menaiki salah sebuah kenderaan tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, keluarga Pamela turut membuat rayuan awam bagi mendapatkan maklumat mengenai kehilangannya. Abangnya, Simon Ling Wan Siong, memaklumkan bahawa adiknya itu menghantar mesej kepada peguamnya pada jam 1.57 petang, memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pada jam 2.08 petang menggunakan perkhidmatan Grab.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh peguamnya, Pamela dilaporkan bertolak dari Jalan Cheras pada jam 1.29 petang dan lokasi terakhir telefonnya dikesan berhampiran Lebuhraya MEX berdekatan Pusat Bandar Putra Permai pada jam 1.52 petang.

“Selepas jam 2.00 petang, semua cubaan menghubungi Pamela melalui panggilan dan WhatsApp oleh keluarga dan peguamnya tidak berjaya. Mesej tidak dibalas dan panggilan tidak dijawab,” kata Simon dalam kenyataan itu.

Pamela dilaporkan tinggal di sebuah apartmen di Sunway Velocity, Cheras. Siasatan dengan pihak Grab Malaysia pula mengesahkan perjalanan ditandakan sebagai selesai, namun tiada maklumat lanjut diperoleh setakat ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing dipenjara, didenda berhubung judi sabung ayam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular