Alor Setar : Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh komitmen terhadap pendidikan apabila menjamin tiada pelajar baharu dari negeri itu akan tercicir daripada menerima bantuan atau penajaan, termasuk yang melanjutkan pengajian ke luar negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sehanyak RM125 juta diperuntukkan tahun ini melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), melonjak lebih dua kali ganda berbanding RM51 juta tahun lalu, demi menampung keperluan lebih 8,824 pelajar baharu.
“Kerajaan negeri serius memastikan anak-anak Sabah mampu menjejak kaki ke menara gading. Bagi yang belum memohon, masih banyak ruang dan peluang. Rujuk segera kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), Yayasan Sabah atau Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Sejak dua tahun lalu, sebanyak RM13 juta telah disalurkan menerusi TPNS dan telah memberi manfaat kepada hampir 9,000 pelajar Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Mahabbah pelajar Sabah di Semenanjung Utara, yang menghimpunkan 150 pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, sebanyak RM10,000 turut diperuntukkan melalui Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA) sebagai sokongan terhadap penganjuran program dan aktiviti mahasiswa Sabah di seluruh IPT.
Salah seorang pelajar UUM, Sharina Erasuara, menyifatkan sokongan kerajaan negeri sebagai ‘suntikan semangat’ kepada mahasiswa Sabah di perantauan.
“Kami banyak terima bantuan – termasuk subsidi tiket penerbangan melalui program ‘Graduan Rindu Sabah’, dan bantuan one-off RM600. Ia amat membantu,” katanya.
Majlis Mahabbah yang dianjurkan saban tahun menjadi platform penting kerajaan Sabah untuk turun padang, mengenal pasti cabaran pelajar serta mengukuhkan jalinan bersama mahasiswa.
Langkah agresif kerajaan negeri ini mencerminkan iltizam tinggi dalam membina generasi cemerlang Sabah, tanpa membiarkan kekangan kewangan menjadi penghalang.