Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 41 warga asing dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah memasuki negeri ini tanpa pas yang sah.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain di sini, hari ini.
Mereka ditahan antara 11 April hingga 24 April di pelbagai lokasi, termasuk Kampung Karambunai Baru, Kolombong, Keningau dan Kudat.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seorang lagi warga asing dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana memasuki Sabah tanpa pas yang sah dan kembali semula ke negeri ini juga tanpa pas yang sah selepas diusir sebelum ini.
Munir Umra ditangkap pada 18 April di sebuah rumah setinggan, berhampiran Lorong Nountun Juta, dekat sini.
Sementara itu, dua warga asing masing-masing dipenjara dan didenda kerana tinggal lebih masa di Sabah.
Jumardi dijatuhi hukuman penjara 12 bulan, manakala Imtiaz Khan didenda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
Jumardi ditahan pada 17 April di Kampung Karambunai Baru selepas pas pelajar miliknya didapati hanya sah sehingga 31 Disember 2021. Dia telah tinggal lebih masa selama lebih tiga tahun.
Imtiaz pula ditahan pada 17 Mac di Kampung Luagan, Beaufort, selepas Pas Khas miliknya hanya sah hingga 12 Julai 2024. Dia telah tinggal lebih masa selama lebih lapan bulan.
Imtiaz telah membayar denda tersebut.
Mahkamah memerintahkan semua tertuduh dirujuk semula ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Gresssia Yolanda Ismail Uvaraj, Chin Tze Mee, Norizan Awang Tand dan Aizah Minin. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.