Kota Kinabalu : Jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri ini terus mencatat peningkatan apabila seramai 1,600 orang melibatkan 479 keluarga dipindahkan ke enam buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, antara daerah terjejas banjir adalah di Sook dan Beaufort.
Sebanyak 19 buah kampung dilaporkan turut terjejas selain Sook terus mencatat jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 1,268 mangsa daripada 377 keluarga dipindahkan.
Antara PPS yang dibuka di Sook termasuk Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2; Dewan Kampung Ansip Tengah; Dewan Datuk Ellron Angin dan Dewan Masyarakat Sook.
Sementara itu, daerah Beaufort pula melibatkan 332 orang dari 102 keluarga selain satu PPS baharu telah dibuka di Dewan Residensi PRIMA Woorford Estate hari ini dengan proses pendaftaran masih berlangsung ketika laporan ini dikeluarkan. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH