Tuaran : Sebanyak 15 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar daerah ini menerima sumbangan wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000 yang disalurkan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS).
Sumbangan yang disalurkan menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Pelancaran Proses Konsultasi Bersama Pihak Berkepentingan dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik Perluasan KUGGp dan CRBR di Linangkit Cultural Village, pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Antara NGO yang menerima Persatuan Pembangunan Lotud Negeri Sabah; Persatuan Asal Lotud Negeri Sabah; Sekolah Adat Anak Negeri Sabah; Lotud Community Learning Centre; Persatuan Nelayan Daerah Tuaran; Kelab Belia Harapan Daerah Tuaran dan Kelab Tuaran Athletics.
Turut menerima sumbangan, PIBG SM St John, Tuaran; PIBG SMK Sri Nangka, Tuaran; PIBG SK Selupoh, Tuaran; PIBG SK Kindu, Tuaran; PIBG SK St John, Tuaran; Kelab Masters Athletics Selupoh; Persatuan Belia Buansa Kg Mengkabong, Tuaran dan Badan Penyelenggara Dewan, Futsal dan Padang Suworoh Selupoh, Tuaran.
TTS merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).