Beaufort : Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada daerah ini selain menyalurkan peruntukan khas bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku hampir setiap bulan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, langkah itu penting bagi merancang pelan mitigasi banjir yang lebih sistematik dan melibatkan penggunaan teknologi moden dari negara-negara maju.
“Daerah Beaufort ini telah mengalami banjir sejak hujung tahun 2024 sehingga bulan ini, sudah 10 gelombang air banjir kita hadapi dan tiga gelombang yang sangat besar. Pada hari ni adalah gelombang yang ketiga yang besar.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia, dianggarkan lebih RM900 juta kerugian akibat banjir melibatkan kerugian tempat kediaman, aset awam, infrastruktur dan sektor pertanian.
“Justeru kita mencadangkan kepada kerajaan supaya dapat melihat daripada negara-negara luar punya teknologi ini bagi mengatasi masalah banjir ini di negeri ini khususnya di Beaufort,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon Beaufort.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, daerah Beaufort khususnya kawasan Lumadan merupakan kawasan yang sering dilanda banjir dan menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik setiap kali banjir berlaku.
Justeru katanya, daerah Beaufort perlu meneliti dan mengadaptasi teknologi moden dari negara-negara maju bagi mengatasi masalah banjir. – SABAH MEDIA