HomeUtamaKerjasama antara Kerajaan negeri, persekutuan percepat usaha basmi kemiskinan

Kerjasama antara Kerajaan negeri, persekutuan percepat usaha basmi kemiskinan

Read Time:1 Minute, 26 Second

Tawau: Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan mampu mempercepat usaha membasmi kemiskinan, sekali gus memberi impak besar kepada rakyat, khususnya di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata matlamat menoktahkan kemiskinan menjadi keutamaan yang selaras dengan agenda Kerajaan Madani.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan kepada usaha membasmi kemiskinan, termasuk di Sabah.

“Begitu juga hala tuju Ketua Menteri Sabah yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini. Dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sudah pasti banyak manfaat dapat disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Karnival Kita Madani di Kampung Batu Payung, di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah itu berjaya menarik kehadiran lebih 4,000 pengunjung menerusi pelbagai aktiviti termasuk Jualan Rahmah, sukan rakyat dan persembahan hiburan berinformasi.

Sebanyak 18 agensi kerajaan turut menawarkan perkhidmatan terus kepada pengunjung, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau berbesar hati kerana program itu dibawa ke kawasannya.

“Alhamdulillah, JaPen memilih Kampung Batu Payung, kawasan luar bandar dalam DUN Apas, sebagai lokasi penganjuran dan saya amat menghargainya.

“Syabas kepada JaPen kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai penyampai maklumat kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, program itu menjadi pembuka tirai kepada Program Madani Rakyat (PMR) peringkat negeri yang bakal dirasmikan Perdana Menteri di Tawau minggu hadapan.

Turut hadir, Pengarah Kanan Pengurusan JaPen, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin; Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor; Timbalan Pengarah, Supian Musa serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.-

RELATED ARTICLES
Utama

Kes HFMD di seluruh negara meningkat 266 peratus – KKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular