KUALA LUMPUR, – Kerajaan Malaysia hari ini mengumumkan enam strategi strategik bagi menghadapi tindakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif timbal balik ke atas barangan import dari Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan luar dan sebaliknya memilih untuk berunding secara berprinsip demi melindungi ekonomi negara, pekerjaan rakyat dan keyakinan pelabur asing.
“Kita tidak memilih jalan mudah. Kita tidak menyerah kepada tekanan. Kita memilih untuk berunding secara berprinsip, demi mempertahankan pekerjaan rakyat, pelaburan masa hadapan dan kedaulatan ekonomi negara,” katanya.
NGCC Jadi Pusat Kawalan Tindak Balas Perdagangan
Langkah pertama yang diumumkan ialah penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) pada 4 April lalu, yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dan diselaras oleh MITI. Katanya NGCC ditubuhkan sebagai platform penyelarasan tindak balas perdagangan, khususnya berkaitan tarif, halangan bukan tarif, dan kejutan geoekonomi global. Sehingga kini, pusat itu telah bersidang sebanyak tiga kali.
Delegasi Malaysia Adakan Rundingan di Washington
Tambah Anwar lagi, Malaysia juga menghantar delegasi rasmi ke Washington DC dari 22 hingga 24 April lalu, diketuai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Delegasi itu mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick.
Dalam rundingan itu, Malaysia memohon pengecualian daripada tarif 24% dan menawarkan kerjasama menyelesaikan isu halangan bukan tarif (NTB). Anwar berkata, maklum balas yang diterima adalah positif, dan AS bersetuju untuk terus berunding.
ASEAN Sepakat Tidak Balas Tindakan Tarif AS
Pada masa sama, Malaysia memainkan peranan utama dalam memimpin kesepakatan ASEAN menolak tindakan balas terhadap AS, sebaliknya memilih pendekatan meja rundingan. Dalam mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April, kesemua negara anggota bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN dan kekal menyokong sistem perdagangan pelbagai hala.
Rundingan Dua Hala Masih Awal, Tiada Komitmen Muktamad
Anwar menjelaskan bahawa rundingan dua hala antara Malaysia dan AS kini masih di peringkat awal dan tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA). Tiada sebarang komitmen dimuktamadkan, namun terdapat kemungkinan kadar tarif dapat dikurangkan hasil rundingan seterusnya.
Malaysia Tawar Timbal Balas Strategik kepada AS
Sebagai sebahagian strategi diplomasi ekonomi, Malaysia menawarkan beberapa inisiatif utama kepada AS termasuk Tempahan 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG), serta Penglibatan syarikat teknologi digital utama seperti Google, Amazon dan Microsoft, serta Komitmen terhadap pelindungan harta intelek yang lebih mesra pelabur.
Sokongan Tambahan kepada PKS dan Pengeksport Terjejas
Sementara itu, Jelas Anwar lagi, Dalam usaha menyokong syarikat tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas, kerajaan memperkenalkan Tambahan RM1 bilion jaminan pembiayaan melalui Skim SJPP.
Dan RM500 juta dana pembiayaan mudah melalui institusi pembangunan kewangan (DFI), Tambahan RM50 juta kepada MATRADE untuk membantu pengeksport menembusi pasaran baharu.
Pelbagaikan Pasaran, Kukuh Projek Serantau
Perdana Menteri turut mengumumkan tumpuan baharu ke arah mempelbagaikan pasaran eksport, termasuk Negara-negara Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta Projek strategik seperti ASEAN Power Grid, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan pelabuhan darat di Perlis dan NCER.
Fokus kepada Pelaburan, Ekonomi Digital dan Tenaga Baharu
Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan mempercepat pelaksanaan pelaburan melalui pembukaan pusat sehenti pelaburan (IMFC) di Pulau Pinang dan Sarawak. Fokus turut diberi kepada pelaburan strategik dalam sektor E&E, AI, tenaga boleh baharu (LSS5), serta infrastruktur digital kerajaan.
malah Ujarnya Kerajaan terus mengutamakan penerimagunaan teknologi terkini selaras dengan iltizam untuk memperkukuh daya saing negara dan memudahcara perniagaan.
Katanya Kerajaan telah mewujudkan fakulti AI di UTM dan mewujudkan pusat teknologi di UPM untuk post quantum cryptography. Selain itu, penelitian lanjut berhubung penggunaan teknologi terkini lain turut dilaksanakan antaranya termasuklah blockchain untuk pembudayaan digital dalam sektor awam.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa tiada dasar utama negara termasuk hak Bumiputera, vendor tempatan dan sektor strategik akan dikompromi dalam mana-mana rundingan perdagangan antarabangsa.
“Kita akan terus mempergiat agenda Ekonomi MADANI demi memastikan Malaysia kekal di landasan ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.