Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengorak langkah dalam memperkukuh jalinan antarabangsa apabila telah menandatangani satu Surat Hasrat (LoI) bersama Kolej International Graduates Studies (KIGS), Brunei Darussalam.
Majlis menandatangani LoI itu yang berlangsung di Pejabat Naib Canselor UMS telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, serta Ketua Pegawai Eksekutif KIGS, Mahrub Awang Murni.
Kasim berkata, jalinan kerjasama tersebut bakal membuka peluang luas untuk UMS memperkukuh jaringan global dan membina sinergi akademik rentas sempadan.
Perkara tersebut turut diyakini oleh pihak KIGS, dengan Mahrub menyatakan harapan tinggi terhadap potensi kerjasama tersebut dalam membantu ekosistem pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat melalui semua inisiatif yang bakal dilaksanakan.
Menerusi kerjasama strategik ini, kedua-dua institusi bersetuju untuk menawarkan program-program akademik yang menepati keperluan pasaran semasa di Negara Brunei Darussalam.
Selain daripada program-program akademik, UMS melalui Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC) dan KIGS juga merancang menawarkan program-program bersifat pembelajaran sepanjang hayat merangkumi kursus-kursus jangka pendek dan profesional.
Kerjasama ini dijangka mampu menjadi pemangkin dan “game changer” kepada UMS untuk terus menerokai peluang kerjasama antarabangsa yang mampu memberikan pulangan lestari kepada universiti, selari dengan objektif UMSFLEC sebagai sebuah Unit Perniagaan Strategik di UMS.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut Penolong Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Pengarah UMSFLEC, Profesor Madya Ts. Dr. Sazmal Effendi Arshad.