Kota Kinabalu: Beberapa aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sabah akan turut mengambil bahagian dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi Edisi Ke-17 (LIMA’25) mulai 20 Mei ini.
Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris berkata, aset tersebut merangkumi empat buah kapal, dua buah helikopter serta sebuah kapal selam dalam pameran selama lima hari untuk acara tahunan yang berprestij itu.
“TLDM akan menghantar empat buah kapal dan dua buah helikopter ke Langkawi iaitu Kapal Diraja (KD) Kelantan, KD Selangor, KD Rencong dan KD Sundang untuk pameran.

“Selain itu, dua buah helikopter akan ke Langkawi dan sebuah kapal selam juga akan dipamerkan di sana nanti,” katanya.
Ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini, Junaidi berkata kunjungan tersebut bertujuan untuk memberi taklimat sekali gus menjemput Tun Musa ke LIMA’25.
“Sempena ulang tahun TLDM ke-91 yang disambut pada 27 April yang lalu, kami ingin memaklumkan dan menjemput Tuan Yang Terutama Tun hadir ke pameran LIMA.25 di Langkawi yang akan diadakan pada 20 hingga 24 Mei,” katanya.
Junaidi yang mengambil alih tugas Panglima Armada Timur sejak November lalu diiringi Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Yusne Mokhtar turut menyatakan komitmen kepada kerajaan Sabah dalam aspek keselamatan rakyat serta perairan negeri ini.
“Kami ingin menzahirkan kerjasama di antara TLDM dan kerajaan Sabah dan juga kepada Tun Musa dan juga mengucapkan terima kasih kepada Tun kerana atas segala bantuan-bantuan dan kerjasama yang telah diberikan bersama dengan TLDM.
“Kami juga menzahirkan kepada Tun bahawa TLDM akan sentiasa berada di Sabah ini untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah terutama perairan Sabah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Junaidi turut menggesa warga Sabah agar terus memberi kerjasama untuk memastikan perairan Sabah aman dan terkawal.
“Kita baru saja melaksanakan Hari Terbuka Armada Timur pada minggu lepas di Pangkalan TLDM Sepanggar dan pada minggu hadapan kita akan diadakan Hari Terbuka Armada Timur di Sandakan pada 10 dan 11 Mei nanti.
“Jadi, dijemputlah rakyat Sabah untuk datang ramai-ramai ke Sandakan dan juga acara yang terbesar lagi adalah di Langkawi nanti, pameran-pameran antarabangsa akan diadakan di sana pada 20-24 Mei,” katanya.