Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Kerajaan tidak mampu menangani isu pembuangan sampah, khususnya sampah di laut, secara bersendirian, kata Mayor Bandaraya Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.
Beliau berkata, usaha kolektif antara kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi memastikan kebersihan serta kelestarian perairan ibu negeri ini.
“Kita tahu bahawa sampah yang terlalu banyak di laut ini bukan sahaja mengancam biodiversiti dan flora laut, tetapi juga menjejaskan sektor pelancongan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Bot Pembersih Sampah Laut Mobula 8 di Pulau Gaya, di sini, hari ini (7 Mei).
Bot Mobula 8 yang direka khas untuk mengutip sampah terapung di perairan sekitar Kota Kinabalu merupakan inisiatif Yayasan Penyelidikan Marin (MRF). Bot berkenaan disumbangkan oleh sebuah badan bukan kerajaan dari Switzerland.
Dr Sabin juga menjelaskan bahawa DBKK sendiri telah melaksanakan pembersihan sampah di laut secara besar-besaran sejak awal tahun ini dengan menggunakan ‘bot skimmer’.
“Dua lagi bot akan dijangka ditambah sebelum hujung tahun. Setiap bot mampu mengutip sehingga lima tan sampah sekali operasi. Jika bot berkenaan beroperasi lima kali dalam sehari, ia mampu mengutip 25 tan sampah sehari,” katanya.
Tambahnya lagi, penggunaan bot skimmer ini menjadikan operasi pembersihan sampah di laut jauh lebih efisien berbanding penggunaan bot kecil dan jaring tradisional sebelum ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kerjasama itu bukan sekadar permulaan kepada satu operasi pemulihan alam sekitar, tetapi juga permulaan kepada satu kerjasama yang lebih kukuh dan berorientasikan tindakan antara DBKK dan MRF.
Katanya, kerjasama ini telah dimeterai secara rasmi pada 9 April lalu menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBKK dan MRF – satu pencapaian penting yang telah membuka jalan kepada inisiatif hari ini serta pelbagai program bersama yang bakal memberi impak positif pada masa akan datang.
“Plastik marin kini menjadi antara cabaran alam sekitar paling mendesak pada zaman ini. Masalah ini bukan hanya berlaku di lautan yang jauh, tetapi turut berlaku di perairan pesisir dan pulau-pulau yang mengelilingi bandar kita.
“Plastik dan bahan buangan yang terkumpul dalam sistem saliran kita dan akhirnya mengalir ke laut telah merosakkan ekosistem marin, mengancam biodiversiti, serta menjejaskan sumber pendapatan yang bergantung kepada persekitaran laut yang bersih,” katanya.
Tambahnya lagi, selain pelaksanaan operasi bot pembersih sampah, usaha pendidikan dan libat urus komuniti juga akan diberikan keutamaan.
“Kami percaya bahawa penyelesaian alam sekitar jangka panjang mesti berakar pada kesedaran awam dan perubahan sikap.
“Justeru itu, dengan sokongan MRF, DBKK akan menerajui program pendidikan marin yang melibatkan sekolah-sekolah, komuniti setempat dan sektor pelancongan, bagi memupuk semangat tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan semua pihak berkepentingan,” katanya.