Oleh Normimie Diun
TUARAN:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka untuk meletakkan calon daripada mana-mana parti daripada komponen GRS asalkan berpotensi menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kata Pengerusinya merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, menjadi keutamaan kepada gabungan itu untuk memastikan calon yang diketengahkan mampu meraih sokongan rakyat dan menyumbang kemenangan kepada GRS.
“Ini soal, kalau kita letak calon, calon itu mestilah calon yang boleh menang. Kita tidak kira dari parti mana, yang penting boleh menyumbang kemenangan kepada gabungan. Itu saja.
“Kalau kita pun minta kerusi tapi kita tidak boleh menang, susah juga. Jadi kita mesti menerima hakikat ini,” katanya pada ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahi Majlis Daerah Tuaran Bagi Tahun 2025-2027 di Grand Ballroom Shangri-La Rasa Ria Resort, di sini pada Khamis (8 Mei).
Mengulas lanjut, Hajiji menegaskan bahawa soal agihan kerusi dalam kalangan parti komponen GRS dan juga dengan rakan kerjasama kerajaan perpaduan, Pakatan Harapan (PH), masih belum dimuktamadkan.
“Sekarang ini kerajaan ialah kerajaan GRS-PH. Dalam konteks ini, kita bermula dari sana. Tapi ini belum lagi final. Agihan kerusi di antara kita pun belum final dan juga kerjasama agihan kerusi dengan PH itu pun belum dimuktamadkan.
“Kalau dekat-dekat nanti pilihan raya atau sudah bubar, barulah kita boleh cakap sudah dimuktamadkan,” jelasnya.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan presiden-presiden parti komponen dalam GRS di kediaman rasminya semalam, Hajiji menegaskan bahawa perbincangan antara mereka (presiden-presiden) sentiasa berjalan, termasuk dalam menentukan strategi terbaik menghadapi pilihan raya umum.
“Mungkin orang melihat baru-baru ni ada sedikit ketegangan. Bukan juga ketegangan macam berbalas pantun. Kita selalu membincangkan kepentingan gabungan kita, terutama sekali dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang ini. Kalau ada sedikit perbezaan pandangan, itu biasa dalam politik, yang penting kita bersatu untuk perpaduan dan kepentingan gabungan,” katanya.