Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen teguh untuk terus memperkasa penyampaian perkhidmatan awam serta memperluas manfaat pembangunan kepada seluruh rakyat melalui pendekatan Malaysia Madani.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penjawat awam merupakan tulang belakang kepada kejayaan pembangunan negeri dan pelaksanaan dasar kerajaan, justeru peranan mereka perlu sentiasa disulam dengan integriti, kecekapan, dan semangat tanggungjawab tinggi.
“Rakyat sedang memerhati. Tingkah laku, tutur kata dan layanan kita kepada rakyat mencerminkan sistem penyampaian kerajaan hari ini.
“Justeru, penjawat awam harus menjiwai prinsip-prinsip MADANI – Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan – bukan sekadar sebagai slogan, tetapi dalam akhlak dan budaya kerja,” katanya dalam Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang menyampaikan amanat kepada warga perkhidmatan awam Sabah sebagai sebahagian daripada program nasional Jelajah Taat Setia MADANI.
Hajiji berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah membuahkan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat Sabah, termasuk Program Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah yang menarik hampir 485,000 pengunjung.
Pembentukan 219 Komuniti Madani Sabah dengan peruntukan RM657,000, Inisiatif Ehsan@KUSKOP di tiga daerah sasaran iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat selain pelbagai wacana dan forum pendidikan untuk memperluas pemahaman Malaysia MADANI.
Di peringkat negeri, Hajiji menegaskan kerajaan terus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, khususnya kepada golongan B40 dan pelajar, antaranya ialah Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Komputer (BAIK), dan subsidi penerbangan (GRS- SUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung dan Sarawak.
Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) sebanyak RM300; Pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra SMJ bernilai RM250 juta dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) melibatkan bantuan tunai RM300 sebulan bermula awal tahun sehingga akhir tahun kepada 100,000 Ketua Isi Rumah miskin dan miskin tegar di Sabah.
Menyentuh aspek pembangunan modal insan, beliau memaklumkan bahawa dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah telah ditingkatkan secara signifikan daripada RM55 juta pada 2022 kepada RM128 juta pada tahun 2025.
“Sokongan kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja soal pendidikan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang untuk melahirkan pemimpin masa depan dan tenaga kerja berdaya saing,” katanya.
Hajiji turut menyeru kepada 21,989 penjawat awam negeri dan 126,677 penjawat awam Persekutuan di Sabah agar menjadi pemudah cara kepada rakyat dalam menyampaikan maklumat dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan.
“Sampaikan mesej kerajaan hingga ke akar umbi. Biar rakyat tahu bahawa kerajaan tidak hanya merancang tetapi melaksana banyak inisiatif pembangunan demi kesejahteraan negeri dan rakyat. Perkhidmatan yang diberikan mesti pantas, cekap, dan berintegriti,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh rakyat Sabah untuk mengetepikan perbezaan politik dan terus mengukuhkan perpaduan demi kemajuan negeri.
“Kestabilan politik adalah asas kepada kemakmuran. Marilah kita bersama melangkah ke hadapan dalam semangat solidariti, mengutamakan perpaduan dan pembaharuan komitmen untuk masa depan Sabah yang lebih gemilang,” katanya. – SABAH MEDIA