Tuaran : Para pemimpin Sabah berhimpun di Dewan Seri Sulaman hari ini bagi meraikan ulang tahun kelahiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang ke-70, sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan dan jasa beliau kepada negeri ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat yang bersama-sama menyampaikan penghargaan atas sumbangan Hajiji dalam pembangunan Sabah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan itu, Datuk Abdul Kassim Razali dalam ucapannya berkata, bukan mudah mendapat izin daripada Hajiji bagi menganjurkan Majlis Ulang Tahun Kelahiran yang sederhana ini, kerana menjadi kebiasaan beliau meraikan hari istimewa itu bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Katanya, acara sambutan ini menjadi simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap kepimpinan Hajiji yang terus komited membawa perubahan positif demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan pentas khas mengenai kisah hidup Hajiji, tarian kebudayaan, nyanyian dan jamuan yang membangkitkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan antara pemimpin dan rakyat. – SABAH MEDIA