Putatan : Pengumuman Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu gabungan parti tempatan itu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 disifatkan sesuatu yang wajar.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata, Hajiji sebelum ini dilihat secara konsisten mahu meneruskan kerjasama GRS- Pakatan Harapan (PH) Plus yang ada sekarang.
Namun katanya, tindakan Barisan Nasional (BN)dan PH Pusat mengumumkan kesepakatan kerjasama mereka menyebabkan situasi semasa berubah.

“Seperti yang kita lihat, presiden kita dahulunya konsisten bahawa kita akan bergabung dalam pilihan raya ini iaitu GRS-PH Plus tetapi apabila baru-baru ini kenyataan dikeluarkan PH mahupun BN sendiri, maka Presiden mengumumkan bahawa GRS akan bergerak solo.
“Ini adalah satu cabaran yang kita kena sahuti kerana kita bersetuju dan yakin bahawa kerajaan pada hari ini haruslah ditunjangi oleh parti lokal iaitu GRS.
“Ianya selaras dengan realiti pencapaian dan kemahuan kehendak masyarakat orang Sabah itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Tahunan Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Petagas bagi PDM Bandar Putatan dan Ulu Putatan, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Isquzawan berkata sebagai pemimpin GRS di Petagas, mereka menyahut cabaran untuk bertanding solo pada PRN17 nanti.
“Sudah sampai masanya untuk kita mengetengahkan parti lokal ini kerana kita percaya dengan acuan parti lokal ini kita dapat membentuk satu kerajaan yang begitu baik,” katanya.
Sementara itu, beliau turut yakin GRS mampu memenangi PRN-17 walaupun bertanding secara solo.
Katanya, selaku parti komponen GRS, Gagasan Rakyat akan bekerja keras bagi memastikan GRS kembali memerintah negeri selepas PRN17.
Menurutnya, dengan acuan parti tempatan yang dibawa GRS, beliau percaya ia bakal mendapat sokongan baik daripada rakyat negeri ini.
“Saya percaya dengan acuan lokal ditunjangi GRS, ia dapat memberikan momentum dan mendapatkan sokongan daripada rakyat pada PRN17 nanti, insyaAllah.
“Saya yakin GRS mampu untuk memenangi PRN17 dan kembali memerintah selepas pilihan raya itu nanti,” katanya. –SABAH MEDIA