Kota Kinabalu: Sektor pelancongan di Sabah terus mencatat peningkatan yang baik apabila sejumlah 923,709 pelancong direkodkan tiba di negeri ini bagi tempoh tiga bulan bermula Januari lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, angka berkenaan menunjukkan pertumbuhan sebanyak 18.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Daripada jumlah keseluruhan (923,709), sebanyak 366,727 merupakan pelancong antarabangsa, manakala 556,982 adalah pelancong domestik,” katanya ketika merasmikan Pesta MATTA Sabah 2025, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil kutipan pelancongan bagi tempoh Januari sehingga Mac 2025 dianggarkan sebanyak RM2.13 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 17.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Katanya, China kekal sebagai pasaran utama bagi Sabah dengan seramai 154,319 pelancong dari negara itu, diikuti oleh Korea Selatan (57,995 pelancong ) dan Brunei (45,469 pelancong).
Christina berkata, penganjuran Pesta MATTA di Sabah secara signifikan telah memperkasakan kedudukan Sabah sebagai destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Beliau menyifatkan acara itu sebagai satu perayaan terhadap kepelbagaian, semangat dan keunikan keindahan yang ditawarkan oleh Sabah, sekali gus menjadi perkara positif dalam industri pelancongan dan hospitaliti negeri ini.
“Pada Pesta MATTA (18-20 April 2025) yang diadakan di Kuala Lumpur dan Sabah sebelum ini berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM4.5 juta memperlihatkan peningkatan ketara berbanding RM3 juta yang dicapai pada September 2024.
“Pertumbuhan ini jelas mencerminkan permintaan yang tinggi dan daya tarikan yang semakin meningkat terhadap produk pelancongan Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi di Sabah,” katanya.
Menurutnya, antara pakej paling laris ialah lawatan dari pulau ke pulau dan lawatan ke Mari Mari Cultural Village.