Oleh Hanafi Mohd Ali, Normimie Diun
Foto/Video: Sabah Media/Yusof Mohamad, Mohd Zainal Zamzuri
TENOM: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menepis dakwaan bahawa Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi (SJHTP) menjadi punca banjir di kawasan Tenom, Beaufort dan sekitarnya.

Katanya, SJHTP tidak menggunakan sistem empangan seperti kebanyakan stesen hidroelektrik lain. Sebaliknya, stesen ini berasaskan konsep “Run-of-River”, iaitu hanya mengalihkan aliran semula jadi sungai melalui terowong untuk memutarkan turbin bagi menjana tenaga, sebelum melepaskan semula air ke sungai tanpa sebarang takungan berpanjangan.
“Ramai penduduk beranggapan bahawa stesen ini punca utama banjir, sedangkan hakikatnya SJHTP tidak menyimpan air seperti empangan konvensional. Air yang dialihkan untuk penjanaan akan dilepaskan semula ke sungai dengan jumlah yang sama,” Jelasnya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Semula dan Sambutan Ulang Tahun ke-40 stesen tersebut disini, hari ini.
Majlis Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sabah lll merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ts. Mohd Yaakob Jaafar.
Madius turut memaklumkan kerajaan khususnya Sabah Electricity mempunyai rancangan untuk meningkatkan kapasiti SJHTP daripada 66MW kepada 427MW, hasil persetujuan prinsip daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Katanya, penaiktarafan ini dilihat sebagai langkah penting untuk menjamin kestabilan bekalan elektrik, bukan hanya di Sabah tetapi juga di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ia sejajar dengan komitmen kami di Sabah Electricity untuk memperkukuh penggunaan tenaga hijau yang mampan dan memastikan bekalan yang stabil untuk rakyat,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada strategi lebih besar Sabah Electricity dalam mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga berasaskan bahan api fosil dan memperluaskan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui, termasuk hidro, solar dan biojisim.