HomeUtamaSabah negeri pertama perkenal Enakmen Pengangkatan Orang Islam

Sabah negeri pertama perkenal Enakmen Pengangkatan Orang Islam

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu: Sabah mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia meluluskan Enakmen Pengangkatan Orang Islam.

Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Datuk Ahadin Arinen berkata, enakmen baharu yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hujung tahun lalu itu akan memperkemas proses pengangkatan anak angkat dalam kalangan umat Islam yang sebelum ini hanya berpandukan garis panduan dalaman sejak 2005.

“Enakmen ini membuka ruang kepada umat Islam untuk membuat permohonan pengangkatan anak secara rasmi melalui Mahkamah Syariah, berbanding sebelum ini yang melibatkan mahkamah awam atau mahkamah anak negeri,” katanya.

Beliau berkata demimian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini pada Rabu.

Ahadin berkata, pelaksanaan enakmen itu melibatkan tiga agensi utama iaitu Mahkamah Syariah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, dengan proses pengangkatan bermula daripada penilaian Jabatan Kebajikan sebelum kes dikemukakan ke Mahkamah Syariah dan diakhiri dengan pengeluaran sijil anak angkat oleh JPN.

Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Datuk Ahadin Arinen

Katanya, antara kriteria penting yang ditetapkan dalam enakmen itu ialah pemohon dan anak yang diangkat mestilah beragama Islam, di samping mematuhi undang-undang dan polisi sedia ada termasuk aspek keselamatan negara.

“Walaupun sebelum ini kita belum ada enakmen khas, kita telah melaksanakan prosedur ini sejak 2005 berdasarkan Garis Panduan Amalan Dan Tatacara Pengambilan Anak Angkat Mahkamah Syariah 2006, dengan mengendalikan lebih 100 kes pengangkatan setahun,” katanya.

Selain daripada itu, Ahadin turut berkata, Sabah turut menubuhkan Mahkamah Utama Syariah dan menjadi negeri kedua selepas Perak menubuhkan institusi tertinggi dalam struktur kehakiman syariah negeri.

“Penubuhan Mahkamah Utama Syariah ini selaras dengan usaha memperkukuh institusi kehakiman syariah dan memberi keadilan terbaik kepada masyarakat Islam di Sabah dan kita sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi negeri perintis dalam kedua-dua inisiatif ini,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Sabah, Nawawi Diman; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah, Ade Rizal Pahlevi Mohd Zen dan Taherah Tahir; Hakim Kanan Mahkamah Rendah Syariah, Awang Jalimin Matiasin; Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, Mohd Yusuf Nureddin dan Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie, Nooryasmensharini Abas

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular