HomeUtamaSabah Softwoods bayar dividen RM70 juta

Sabah Softwoods bayar dividen RM70 juta

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu: Sabah Softwoods Berhad hari ini membayar dividen sebanyak RM70 juta bagi tahun 2024 kepada pemegang saham terbesarnya, Innoprise Corporation Sdn Bhd, anak syarikat pelaburan Yayasan Sabah.

Replika cek tersebut telah diserahkan Pengerusi Sabah Softwoods, Datuk Mohd Arsad Bestari kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah di Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Arsad berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding RM60 juta pada tahun 2023.

Katanya, peningkatan angka signifikan itu mencerminkan komitmen SSB yang konsisten meningkatkan hasil negeri melalui penjanaan pendapatan di bawah anak syarikat Yayasan Sabah itu. 

“Pembayaran dividen sebanyak RM70 juta bagi tahun 2024 kepada Yayasan Sabah mencerminkan peningkatan prestasi syarikat berbanding tahun 2023, di mana jumlah dividen yang dibayar adalah sebanyak RM60 juta.

“Peningkatan ini menunjukkan komitmen dan konsistensi SSB dalam menjana keuntungan mampan, sekaligus menyumbang kepada hasil negeri khususnya Yayasan Sabah selaku pemegang saham terbesar,” katanya.

Pada masa sama, Arsad turut menzahirkan penghargaan terhadap Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah atas kelulusan lanjutan pajakan tanah Sapangar, milik sebuah anak syarikat Yayasan Sabah selama 30 tahun yang dijangka bakal memastikan kestabilan dan kelangsungan operasi SSB dalam sektor perladangan kayu, kelapa sawit dan pemprosesan di negeri itu, selaras dengan hala tuju kerajaan negeri. 

“Kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah bagi lanjutan pajakan tanah Sapangar, anak syarikat Yayasan Sabah selama 30 tahun merupakan keputusan strategik dan penting. 

“Ini bagi memastikan kelangsungan operasi serta kestabilan jangka panjang SSB dalam sektor perladangan kayu, kelapa sawit, dan pemprosesan, selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Sebagai rekod, SSB merupakan salah satu anak syarikat yang bernaung di bawah Yayasan Sabah.

Hadir sama Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Daud Tampokong.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular