Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selama lebih setahun di Sabah.
Farno Thomas membuat pengakuan itu di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain.
Farno ditahan pada 26 April lalu di Perhentian Bas, Jalan Kemabong, Tenom selepas Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) miliknya didapati hanya sah sehingga 10 Julai 2023.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, enam lagi warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki Sabah tanpa pas yang sah.
Lima daripada mereka ditahan di sebuah pusat hiburan di Inanam pada 27 April lalu, manakala seorang lagi ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Liawan, Keningau pada 29 April lalu.
Kesemua tertuduh gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan dijalankan.
Kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga dikenakan sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara masing-masing.
Pegawai Pendakwa, Baxter Junior Goh, mengendalikan pendakwaan.