HomeIsu tempatanProgram Komuniti Jalinan Kasih erat hubungan siswa dan komuniti luar bandar

Program Komuniti Jalinan Kasih erat hubungan siswa dan komuniti luar bandar

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu :  Program Komuniti Jalinan Kasih anjuran sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kampung Indarason Laut, Kudat baru-baru ini menjadi satu platform dalam memupuk dan mengeratkan hubungan antara siswa-siswi dengan komuniti luar bandar khususnya dengan penduduk kampung tersebut. 

Program anjuran pelajar dari Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) ini menyantuni penduduk kampung selama empat hari dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung dan pelajar sekolah.

Pengarah Program, Diana Vivie Elyana Hieronimus berkata, antara pengisian utama program termasuklah penempatan mahasiswa bersama keluarga angkat bagi merasai sendiri kehidupan masyarakat setempat. 

“Pendekatan ini membolehkan mahasiswa memahami nilai kekeluargaan dan budaya tempatan, di samping memperkasa nilai empati dan keterampilan sosial.

“Selain itu, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persisiran pantai turut dijalankan secara kolaboratif antara mahasiswa dan penduduk kampung, yang bertujuan memupuk kesedaran sivik serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Program kemudiannya diteruskan dengan pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama murid-murid prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 di Sekolah Kebangsaan Indarason Laut menerusi aktiviti interaktif yang memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan pendidikan secara kreatif dan mesra kanak-kanak,” katanya. 

Diana menambah, pelaksanaan aktiviti sukaneka yang melibatkan pelajar dan penduduk kampung turut berjaya mencipta suasana ceria dan mengeratkan hubungan dua hala, selain memupuk semangat kesukanan serta memberi impak positif dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

“Justeru itu, program ini dilihat bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan siswa-siswi dengan masyarakat, malah membentuk mahasiswa yang lebih bersifat prihatin dan bertanggungjawab.

“Pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini memberi nilai tambah kepada pelajar, bukan sahaja dari aspek akademik dan komunikasi, tetapi juga dalam membentuk peribadi yang matang dan berintegriti,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPPS, Prof. Madya Dr. Roslee Talip ketika menyempurnakan penutupan program tersebut menyatakan program seumpama itu wajar diteruskan sebagai usaha berterusan dalam pembangunan sahsiah mahasiswa.

“Program ini memberi impak yang besar bukan sahaja kepada pelajar UMS, tetapi juga kepada komuniti yang terlibat. 

“Ini sekali gus memperlihatkan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial, dan saya berharap program sebegini diteruskan dengan skop yang lebih luas pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Kampung Indarason Laut, Andaman Mansaded; Ketua Program PAKK, Dr. Juppri Bacotang; Penyelaras Kelab PAKK, Saturia Amiruddin, dan Pensyarah Program PAKK, Dr. Mohd Zafaren Zakaria.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Program pembersihan pantai semarak kesedaran alam sekitar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular