Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menegaskan bahawa pendaftaran pepasangan janakuasa (genset) bukanlah dasar baharu sebaliknya merupakan amalan sedia ada yang diteruskan selaras dengan Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, keperluan pendaftaran pepasangan genset tunggu sedia ini sebenarnya telah lama dikuatkuasakan Suruhanjaya Tenaga (ST) di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 sebelum penubuhan ECoS.
“Pendaftaran pepasangan merupakan satu mekanisma untuk ECoS memastikan setiap pepasangan adalah selamat melalui semakan maklumat pepasangan, pemasangannya dan pengujian yang perlu dilaksanakan oleh orang kompeten, serta keperluan lawatan pemeriksaan,” kata Nasser dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau membuat penjelasan itu susulan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dalam satu video tular yang mendakwa bahawa pendaftaran pepasangan genset di Sabah adalah dasar kerajaan yang baharu dan bayaran yang dikenakan adalah membebankan.
Nasser turut menjelaskan bahawa fi pendaftaran pepasangan yang dikenakan ECoS merupakan kadar fi tahunan sepertimana yang dimaktubkan dalam Peraturan Peraturan Bekalan Elektrik 2024.
“Kadar fi tahunan tersebut adalah bergantung kepada kapasiti pepasangan yang bermula dengan RM30 bagi kapasiti 10kW ke bawah sehingga RM3,000 bagi kapasiti melebihi 5,000kW,” katanya.
Mengenai dakwaan ECoS mengenakan bayaran yang terlalu tinggi, Nasser berkata bayaran yang dimaksudkan dalam video tersebut mungkin sebutharga yang ditawarkan oleh juruperunding atau kontraktor yang dilantik sendiri oleh pemunya pepasangan bagi melaksanakan pengujian dan penyediaan dokumen untuk pendaftaran pepasangan.
“Kos-kos ini tidak dibayar kepada ECoS. ECoS merupakan agensi kawal selia dan bukannya entiti perniagaan untuk membuat keuntungan,” tegasnya.
Tambahnya, ECoS tidak menetapkan jadual harga bagi kos-kos melibatkan perkhidmatan juruperunding atau kontraktor.
“Ia ditentukan oleh harga pasaran dan bergantung kepada persetujuan di antara pemunya aset pepasangan dengan juruperunding atau kontraktor yang mereka lantik sendiri,” katanya.
Pemunya aset juga disarankan untuk mendapatkan senarai kontraktor dan konsultan bertauliah melalui laman web rasmi ECoS bagi mendapatkan tawaran yang terbaik.
“Mana-mana pepasangan seperti genset tunggu sedia sepatutnya sudah lengkap dengan dokumen-dokumen seperti Borang G (perakuan penyiapan), Borang H (perakuan ujian) dan ‘single line diagram’ semasa mula-mula pepasangan tersebut dipasang.
“Pemunya sepatutnya menyimpan dokumen-dokumen ini untuk rujukan masa hadapan dan juga memastikan pepasangan tersebut telah diuji selamat sebelum digunakan,” katanya.
Bagi pepasangan yang sebelum ini pernah didaftarkan dengan ST dimana dokumen-dokumen asal seperti Borang G dan Borang H telah dimajukan kepada ST, maka pemunya hanya perlu membuat deklarasi dan akan diberikan kelonggaran dengan syarat bahawa tiada perubahan dibuat ke atas pepasangan sepertimana pendaftaran asal dengan ST.
ECoS turut menggalakkan pemunya genset mendaftar sendiri secara percuma melalui portal ECoS Online System (EOS) dengan memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan, bagi mengurangkan kos bayaran kepada juruperunding atau kontraktor.
“Keselamatan adalah keutamaan kami dan pendaftaran pepasangan adalah langkah penting dan tidak boleh diambil remeh dalam memastikan semua pepasangan elektrik di Sabah mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan demi keselamatan orang ramai dan harta benda,” katanya sambil menyarankan orang ramai untuk merujuk kepada pejabat ECoS sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.
ECoS adalah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sejak 10 Januari 2023. Ia berfungsi sebagai pengawal selia untuk sektor tenaga dalam portfolio Ketua Menteri.
Objektif utama ECoS adalah untuk memastikan tenaga yang selamat, mampan, mampu milik, dan mudah diakses untuk Negeri Sabah. ECoS memainkan peranan penting dalam membentuk landskap tenaga Sabah, menggalakkan amalan tenaga yang bertanggungjawab, dan melindungi kepentingan pengguna serta alam sekitar.