Sandakan : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan dua cubaan rentas sempadan dari Filipina dalam operasi berasingan di perairan timur laut Pulau Berhala, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, dalam insiden pertama sekitar jam 11.49 pagi, Kapal Maritim PINTAR (KM PINTAR) mengesan sebuah kapal mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari Timur Laut Pulau Berhala yang dipercayai keluar dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke perairan Malaysia.
Katanya, pemeriksaan mendapati kapal berdaftar di bawah lesen kargo itu membawa 14 individu termasuk seorang tekong, terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berusia antara lapan hingga 70 tahun.
Menurutnya, majoriti penumpang adalah bukan warganegara dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Lebih mengejutkan, salah seorang penumpang cuba menyogok pegawai penguat kuasa dengan wang tunai, namun cubaan itu gagal apabila pegawai bertugas bertindak tegas menolaknya dan merampas wang tersebut sebagai bahan bukti.

“Kapal dan semua penumpang ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada jam 2.53 petang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya dalam kenyataan di sini.
Suhairy berkata, dalam operasi berasingan pada hari yang sama sekitar jam 12 tengah hari, sebuah lagi kapal tanpa nombor pendaftaran yang digelar sebagai ‘bot hantu’ telah dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.
Mengulas lanjut, beliau turut berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Filipina yang hanya memiliki MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.
“Paling mengejutkan, pemeriksaan lanjut menemui 12 tong jerrycan berisi petrol dianggarkan sebanyak 300 liter, selain 700 liter lagi disimpan dalam tangki utama bot bagi menggerakkan tiga enjin luar 250 kuasa kuda.
“Bahan api ini dipercayai digunakan untuk perjalanan ulang alik antara Malaysia dan Filipina,” katanya.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan termasuk bot tidak berdaftar dan tidak dilesenkan (Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002) serta membawa petrol tanpa permit sah (Akta Kawalan Bekalan 1961).
“Ini bukan sekadar bot tidak sah. Ini perangkap maut terapung yang sarat bahan mudah terbakar, tanpa sebarang ciri keselamatan. Bot terbabit dipercayai terlibat dalam aktiviti rentas sempadan secara senyap,” katanya.
Sementara itu katanya, semua suspek serta kapal telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Beliau berkata, Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan, pemerdagangan manusia atau pencerobohan.
“Orang awam digesa menyalurkan maklumat menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 untuk tindakan segera, ” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA