Tenom : Jambatan keretapi yang runtuh di KM121 Tenom-Beaufort dapat dilalui selewat-lewatnya awal Ogos depan selepas kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan siap hujung Julai depan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pada masa ini kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan masih giat dijalankan.

“Hasil daripada tinjauan yang dilakukan, kita dapat melihat bahawa kerja-kerja semasa masih sedang dilaksanakan iaitu pembaikan tebing dan kerja yang utama adalah pembinaan semula sebuah jambatan yang dapat menghubungkan Pangi dengan Rayoh di kilometer 121.
“Jadi melihat kepada prestasi kemajuan kerja, saya dimaklumkan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah bahawa jambatan ini dijangka siap menjelang hujung Julai ataupun awal Ogos ini.

“Jadi apabila jambatan ini siap maka terhubunglah semula laluan Tenom ke Beaufort. Kita berharap dengan siap jambatan ini laluan tersebut boleh diaktifkan dan ini akan memudahkan pergerakan penduduk kampung di Rayoh dan juga Pangi Tenom,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke laluan keretapi Tenom-Rayoh di Tenom.
Ketika ditanya mengenai penggunaan troli haram untuk tujuan pengangkutan, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, penduduk setempat dinasihatkan agar mengikuti jadual perkhidmatan keretapi yang diberikan.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan pengguna dan penduduk terlibat selain mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Dari sudut perundangan sebenarnya penggunaan troli haram ini adalah tidak dibenarkan. Namun disebabkan mungkin kekangan jumlah perkhidmatan keretapi yang mana penduduk kampung mungkin ada keperluan untuk melakukan perjalanan ke tempat-tempat tertentu maka mereka mengambil inisiatif menggunakan troli haram ini.
“Pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah sedang melihat dari sudut perundangan penggunaan tentang penggunaan ini namun kita mementingkan aspek keselamatan pengguna di sepanjang laluan keretapi ini.
“Jadi kita menasihatkan kepada penduduk sekitar kampung agar dapat mengikuti jadual perkhidmatan keretapi yang diberikan,” katanya.