KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mempersoalkan tindakan menggunakan kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bagi mengumumkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Beliau berkata, tindakan itu telah menimbulkan polemik politik yang tidak membina, termasuk reaksi daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya juga ingin bertanya, adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu jika melibatkan pilihan raya Sarawak pula selepas ini?
“Kerjasama politik adalah hak setiap parti, tapi jangan gunakan platform rasmi Kerajaan Perpaduan untuk pengumuman yang hanya membabitkan dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Bersama Media, Citra Tradisi #KPDNKITA di sini, hari ini.
Menurutnya, penggunaan kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan tidak wajar kerana pengumuman itu bukanlah hasil konsensus semua gabungan parti dalam kerajaan tersebut.
Armizan turut menyarankan agar Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof mengambil perhatian terhadap perkara itu supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.
“Mereka (Asyraf dan Saifuddin) bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili parti masing-masing, tetapi perlu lebih teliti dalam tindakan.
“Kalau kestabilan politik adalah matlamat bersama, maka kita perlu saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri terpaksa memberikan penjelasan berhubung perkara itu ketika ditanya media semasa lawatannya ke Tawau, susulan isu tersebut yang menjadi perhatian rakyat Sabah.
Pada 9 Mei lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerjasama BN dan PH menghadapi PRN Sabah, menggunakan kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut memaparkan logo parti-parti kerajaan.
Armizan menegaskan, Sabah mempunyai keunikan politik tersendiri dan perlu diberi ruang untuk menyesuaikan pendekatan politik negeri.
“Kapal GRS mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, tapi dengan izin Tuhan, kapal kecil ini punya muatan yang cukup untuk sampai ke destinasi,” tegasnya.