Kuching : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending, Violet Yong, menggesa Affin Bank memohon maaf serta menarik balik kad debit edisi khas untuk rakyat Sarawak kerana memaparkan spesies burung enggang yang salah.
Menurut Yong, burung yang dipaparkan pada kad debit “Akaun Simpanan Kenyalang” itu ialah great hornbill, spesies dari tanah besar Asia, dan bukannya rhinoceros hornbill atau enggang badak – burung rasmi yang melambangkan identiti negeri Sarawak.
“Burung enggang Sarawak mempunyai tengkuk berwarna hitam, manakala yang dipaparkan di kad berwarna putih – ini jelas spesies yang salah. Bagaimana sebuah bank seperti Affin boleh tersilap dalam perkara yang begitu asas tentang simbol kebanggaan negeri?” katanya dipetik The Borneo Post.
Yong yang juga Setiausaha Organisasi DAP Sarawak menegaskan bahawa kesilapan seperti ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi setelah Kerajaan Negeri Sarawak menjadi pemegang saham utama dalam bank tersebut.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak kini memegang 31.25% kepentingan dalam Affin Bank selepas memperoleh saham tambahan daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd tahun lalu.
“Lebih membimbangkan, tidak ada seorang pun pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tampil menegur kesilapan ini, walaupun ia melibatkan identiti rasmi negeri,” katanya.
Yong menggesa agar semua kad debit yang telah dikeluarkan itu ditarik balik dan diganti dengan paparan spesies burung enggang yang betul, bersesuaian dengan simbol rasmi negeri Sarawak seperti yang turut dipaparkan pada wang kertas RM5.
Kad debit edisi khas berkenaan dilancarkan bulan lalu sebagai sebahagian daripada kempen akaun simpanan Kenyalang khas untuk rakyat Sarawak.