Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah aktif yang dipercayai terlibat dalam siri kes pecah rumah di sekitar daerah ini selepas menahan empat lelaki dalam beberapa siri serbuan pada 19 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Kasim Muda berkata, penahanan itu susulan dua laporan kes pecah rumah yang diterima pada 18 Mei 2025 masing-masing pada jam 6.13 pagi dan 2.17 petang membabitkan kejadian di kawasan Luyang dan Jalan Penampang.
“Kedua-dua kejadian membabitkan rumah teres dimasuki suspek dipercayai lebih daripada seorang individu dan melibatkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM10,000.
“Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan barangan peribadi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bertindak hasil risikan, seorang lelaki tempatan ditahan di Jalan Gaya sekitar jam 3.40 petang keesokan harinya.
Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk satu unit pemacu keras (hard disk), satu kuku kambing serta pakaian yang digunakan semasa kejadian.
Berikutan tangkapan itu, polis melancarkan beberapa serbuan berasingan dan berjaya menahan tiga lagi suspek lelaki yang dipercayai rakan sejenayah kepada tangkapan pertama.

Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenama Honor 200 serta sebuah kereta jenis Perodua Bezza bersama kunci, yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.
Kasim berkata, hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 40-an dengan pelbagai latar belakang jenayah.
Katanya, salah seorang suspek memiliki rekod dua kes pecah rumah, satu kes samun, satu kes curi kabel dan satu kes dadah sejak 2017 serta pernah dipenjara bagi kes samun. Seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah tetapi merupakan pendatang tanpa izin.
“Seorang suspek mempunyai rekod sebanyak 26 kes jenayah termasuk 25 kes pecah rumah dan satu kes dadah sejak 2017, manakala seorang lagi direkodkan dengan 16 kes jenayah sejak 2021,” jelas Kasim.
Tambah beliau, kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan jenayah pecah rumah di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kudat dan Sandakan.
“Tidak dinafikan mereka juga adalah ahli kumpulan yang dikenali sebagai “Geng Amekgay” terlibat dalam kes curi peti besi di Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan dan Ranau pada tahun 2023.
“Mereka turut dikesan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Menurut Kasim, modus operandi kumpulan ini ialah menyasarkan kawasan perumahan sunyi dan bergerak dalam kumpulan tiga hingga empat orang menggunakan kenderaan sewa. Salah seorang akan menunggu di dalam kereta manakala yang lain memecah masuk ke rumah dengan mengumpil tingkap atau memecahkan pintu kaca sebelum melarikan barang berharga.
Ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi negatif. Keempat-empat mereka kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Penahanan kesemua suspek ini telah menyelesaikan dua kes pecah rumah yang dilaporkan di Luyang,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti penglibatan mereka dalam jenayah lain termasuk di luar daerah. Polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan kumpulan dikenali sebagai “Pindil” yang masih bebas dan yakin suspek akan diberkas dalam masa terdekat.