Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Dua lelaki warga asing dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan berada di tempat perjudian laga ayam.
Tertuduh, Paulus Pune, 55, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan, manakala Yohanis Batu, 48, dikenakan denda RM1,800 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Paulus dan Yohanis didapati hadir di tempat perlagaan haiwan tanpa kebenaran mana-mana pihak berkuasa yang sah, atau tanpa alasan munasabah dengan mengetahui bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan perjudian laga ayam pada 8 Mei lalu jam 5 petang di Penampang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 21 (2) (a) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh di hukum di bawah Seksyen 21 (5) Enakmen yang sama, memperuntukkan denda tidak melebihi RM100, 000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua lelaki itu ditangkap semasa serbuan dilakukan di lokasi berkenaan. Ketika serbuan, ramai pengunjung melarikan diri dan hanya beberapa orang sahaja berjaya di tangkap dan beberapa ekor ayam berjaya dirampas dipercayai digunakan untuk judi sabung ayam.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan selanjutnya.