Kota Kinabalu : Kerajaan Negeri Sabah hari ini menyelar kritikan pemimpin Warisan berhubung isu pemansuhan subsidi gas petroleum cecair (LPG), dengan menegaskan bahawa dasar tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan tanggungjawab kerajaan negeri.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Roland Chia menegaskan bahawa kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, Datuk Junz Wong, adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat Sabah.
“Warisan menyerang kerajaan negeri atas perkara yang bukan dalam bidang kuasa kami. Dasar rasionalisasi subsidi LPG ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, bukannya oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
Roland turut mempersoalkan tindakan Warisan yang hanya menyalahkan kerajaan negeri walaupun parti itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan MADANI yang menerajui pentadbiran pusat.
“Mengapa Warisan tidak menyuarakan perkara ini di dalam Kerajaan Persekutuan sendiri, sedangkan seorang pemimpin mereka memegang jawatan Timbalan Menteri?” soal beliau.
Warisan cuba Abaikan Kejayaan Ekonomi GRS
Menurut Roland, Warisan cuba mengalihkan perhatian daripada pencapaian ekonomi GRS yang lebih memberangsangkan berbanding era pentadbiran mereka selama 22 bulan.
Antara pencapaian utama yang diketengahkan ialah peningkatan ketara dalam geran khas tahunan daripada Kerajaan Persekutuan — dari RM53 juta ketika Warisan memerintah kepada RM600 juta di bawah pentadbiran GRS.
Dana ini digunakan bagi membiayai pembinaan Rumah Mesra SMJ yang ditawarkan kepada golongan B40 dan M40 tanpa mengira kaum dan agama.
GRS Nasihatkan Warisan Cermin Prestasi Sendiri
Mengakhiri kenyataannya, Chia menyarankan agar pemimpin Warisan melihat kembali sumbangan mereka semasa memegang tampuk pentadbiran negeri sebelum mengkritik kerajaan sedia ada.
“Lebih baik Warisan menilai apa yang mereka capai selama 22 bulan mentadbir, berbanding menuding jari dan cuba mencipta publisiti murahan,” katanya.
Menurut Chia, sebarang tindakan menyalahkan kerajaan negeri dalam isu subsidi hanya akan mengelirukan rakyat dan menjejaskan kefahaman mengenai struktur tadbir urus antara negeri dan Persekutuan.