Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan supaya tidak berlebihan atau ‘over’ dalam menyambut Pesta Kaamatan 2025 yang sedang berlangsung sehingga 31 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, berkata semua pihak diminta menjaga tingkah laku ketika berhibur, termasuk dalam aspek makan, minum, menari dan menyanyi.
“Jaga diri, jangan terlalu over. Sekarang ini, kiri, kanan, depan, belakang, semua ada media sosial,” katanya pada sidang media di sini, hari ini (22 Mei).
Dr. Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, mengingatkan supaya semua pihak mengikuti peraturan yang ditetapkan bagi memastikan sambutan berjalan dengan lancar dan aman.
Selain itu, beliau menegaskan pentingnya penglibatan masyarakat setempat dalam menjaga keselamatan dan keharmonian sepanjang sambutan ini.
Dr. Jeffrey juga menegaskan bahawa semua aktiviti muzik mesti dihentikan tepat jam 1 pagi. Aktiviti sosial tanpa muzik masih dibenarkan selepas waktu tersebut bagi menghormati penduduk sekitar.
Beliau mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ini akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.
“Tahun lalu, enam rumah tradisi dikenakan kompaun kerana melanggar peraturan ini. Untuk tahun ini, kita akan teruskan peraturan ini dengan tegas,” tambahnya bahawa pasukan keselamatan yang terdiri daripada pasukan Polis DRraja Malaysia, RELA, dan pengawal keselamatan akan memastikan keselamatan sepanjang acara.
Dalam pada itu, Dr. Jeffrey turut mengulas mengenai isu sewaan gerai yang tahun ini dikenakan harga antara RM2,500 hingga RM5,000, berbanding tahun lalu yang mencecah sehingga RM7,000.
“Penurunan harga ini adalah hasil peruntukan tambahan yang diterima.
Beliau berkata pihak penganjur akan menyiasat dakwaan mengenai sewa atas sewa, dan pihak terlibat akan disenaraihitamkan,” katanya.
Sebanyak 14 rumah tradisi akan dibuka kepada orang ramai, termasuk Rumah Tebilung yang terbaharu, yang terletak di atas bukit.
Semua rumah tradisi ini akan mempamerkan makanan dan minuman tradisi, serta persembahan tarian, pakaian, dan lagu-lagu tradisional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan merasmikan sambutan Kaamatan pada 30 Mei, manakala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Seri Musa Aman, akan menutup acara pada 31 Mei.
Selain itu, Dr. Jeffrey juga akan mengumumkan nama terbaharu bagi Mister Kaamatan (MRK) pada 29 Mei.
Program ini disenaraikan dalam program tahunan Kaamatan dan memberi lebih fokus kepada peranan golongan belia lelaki dalam mempromosikan kebudayaan dan tradisi Sabah.
Dr. Jeffrey turut menyatakan harapan agar promosi Pesta Kaamatan dapat dimanfaatkan sebagai platform untuk memperkukuhkan industri pelancongan.
Beliau berkata, kehadiran pelancong serta pelabur dijangka meningkat bagi melihat sendiri potensi yang ditawarkan menerusi sambutan ini.