HomeUtamaUsaha wujudkan PPD Membakut giat dilaksanakan

Usaha wujudkan PPD Membakut giat dilaksanakan

Read Time:1 Minute, 52 Second

Membakut: Usaha mewujudkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Membakut masih giat dilaksanakan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

“Kita sedang dalam proses untuk memohon agar diwujudkan sebuah PPD di Membakut ini dan sekarang PPD Beaufort sedang mengusahakannya bersama dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.

“Saya sudah bawa perkara ini kepada Menteri Pendidikan dalam mesyuarat exco pendidikan sebelum ini dan minggu depan saya akan bawa perkara ini sekali lagi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Sabah kerana sedang berusaha ke arah itu dan mudah-mudahan akan memudahkan urusan kita,” katanya.

Selain itu, Arifin juga mencadangkan guru-guru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan Bongawan mengadakan gabungan untuk memudahkan urusan berkaitan pendidikan.

“Saya juga mencadangkan gabungan antara guru-guru di Membakut dan Bongawan ini dilaksanakan dalam satu wadah seperti mana kita adakan hari ini bukan sahaja melibatkan DUN Membakut tetapi juga DUN Bongawan.

“Ini yang kita inginkan supaya kerjasama itu dapat membantu anak-anak kita memudahkan urusan mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Semarak Ilmu DUN N31 Membakut dan Majlis Pelancaran Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan di Dewan Terbuka Membakut, pada Khamis.

Pada majlis tersebut, Arifin yang diiringi Pegawai Daerah Ibrahim Terki dan Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Azrul Ibrahim menyempurnakan gimik pelancaran Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan (BISTARI).

Beliau juga menyaksikan penyampaian cek cura oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas) Awangku Raimy Pangiran Abdul Rahman kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort Gani Senang dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Papar (Sektor Pengurusan Sekolah), Jamal Ramli.

Turut disampaikan, cek cura Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), Bantuan Ihsan serta Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) kepada DUN Membakut dan DUN Bongawan.

Di samping itu, Arifin juga menyempurnakan simbolik penyerahan beg sekolah daripada PTPTN kepada 20 murid Tahun 1, kemudian menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang sempena Sambutan Hari Guru kepada 16 orang guru dan anggota khidmat pelaksana DUN Membakut dan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2024 kepada 22 pelajar yang memperolehi keputusan SPM 6A ke atas.

Terdahulu, program diisi dengan ceramah Sabah Maju Jaya (SMJ) anjuran IKRAR serta taklimat bantuan dan penaja pendidikan daripada wakil TSKN (Tugas-tugas Khas), Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular