Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya, iaitu sebilah parang, di tempat awam.
Tertuduh, Khalid, 20, membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Khalid memiliki sebilah parang lebih kurang 55cm termasuk hulu di tepi jalan Taman Bukit Setia pada 12 Mei lalu jam lebih kurang 11.30 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh ditahan oleh polis yang sedang meronda di kawasan Taman Bukit Setia.
Ketika itu, tertuduh dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan sambil memegang objek yang dibalut dengan kain hitam berhampiran dewan terbuka taman berkenaan.
Semasa ditahan, tertuduh gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, selain tidak memberikan alasan munasabah mengenai pemilikan parang berkenaan.
Dalam rayuannya, tertuduh meminta hukuman ringan kerana mempunyai isteri dan dua orang anak.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan memandangkan kesalahan membawa senjata berbahaya semakin berleluasa, selain menimbulkan ancaman kepada keselamatan awam.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.