Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemandu e-hailing yang gagal hadir untuk sebutan kes berkaitan komen jelik di aplikasi TikTok yang didakwa menyakitkan hati orang lain.
Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, mengeluarkan perintah itu terhadap Attad Alamin, 45, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh.
Terdahulu, Kareena memaklumkan bahawa tertuduh sepatutnya hadir untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes. Namun, hanya penjamin hadir dan kedua-duanya menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada terus menjamin tertuduh di Mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula waran tangkap serta mendengar permohonan penjamin yang ingin menarik diri.
Attad berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia didakwa memuat naik komen atau komunikasi yang bersifat jelik menggunakan nama profil TikTok Bentanalamin25 dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, di mana hantaran tersebut dibaca oleh Datu Hishamuddin Datu Hasim di sebuah rumah di Taman Pengalat Besar, Papar.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 5 April 2024, sekitar jam 5 petang.
Attad sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 15 Ogos 2024, dan mahkamah ketika itu membenarkannya diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.