HomeUtamaHarga barang terkawal sempena Kaamatan dan Gawai - KPDN

Harga barang terkawal sempena Kaamatan dan Gawai – KPDN

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025, bermula hujung Mei ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan skim itu bagi memastikan harga barangan keperluan utama kekal stabil dan berpatutan sepanjang musim perayaan, selain melindungi pengguna serta tidak membebankan peniaga.

“SHMMP Pesta Kaamatan akan dilaksanakan dari 27 Mei hingga 2 Jun, manakala SHMMP Hari Gawai bermula 29 Mei hingga 4 Jun.

“Tempoh pelaksanaan skim tersebut ialah selama tujuh hari iaitu pada hari kemuncak dan tiga hari sebelum dan selepas kemuncak perayaan. Tempoh pelaksanaan skim ini adalah ditetapkan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan komuniti peniaga. Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.

Pengumuman itu dibuat pada satu sidang media di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam di sini, hari ini (23 Mei).

Menurutnya, tahun ini, SHMMP Kaamatan melibatkan 10 jenis barangan berbanding lapan tahun lalu, manakala SHMMP Hari Gawai pula melibatkan 11 jenis barangan, meningkat daripada lapan pada 2024.

Katanya, antara barangan tambahan tahun ini ialah bawang kuning besar import, bawang merah besar import, kelapa biji, kelapa parut, dan santan.

Turut tersenarai ialah daging babi (daging dan perut), kepak ayam, cili kering keriting, bawang putih (China) dan kubis bulat import.

Skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), hasil kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pihak industri.

Beliau berkata, penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi tumpuan seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah untuk memastikan pematuhan terhadap skim ini.

“Peniaga diwajibkan mematuhi harga maksimum dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian, termasuk denda sehingga RM100,000 (bagi individu) dan RM500,000 (bagi syarikat) atau penjara tiga tahun, serta kompaun bagi kesalahan lain.

“Kerajaan menyeru semua pihak untuk mematuhi ketetapan ini demi menjaga kepentingan rakyat dan memastikan bekalan mencukupi sepanjang musim perayaan,” katanya.

Selain itu, KPDN turut giat melaksanakan program inisiatif Payung Rahmah, termasuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Pada majlis itu, turut dilaksanakan Penyerahan Bantuan Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan Usahawan Muda dan Penyerahan Sumbangan Bakul Rahmah dan CSR Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular