Membakut : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Membakut kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Membakut Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, persiapan rapi telah digerakkan di semua peringkat termasuk cawangan.
“Kita telah bersedia untuk apa-apa pengumuman pilihan raya, kita bersedia dan kita sudah mengemaskan jentera kita.

“Yang sangat penting bagi saya ialah semua cawangan akan memperkemas jenteranya dan juga mengenal pasti ahli-ahli mereka. Selain itu, jawatankuasa yang diketuai oleh ketua wanita juga menyatakan mereka telah membuat persiapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Membakut Gagasan Rakyat di sini pada Sabtu bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Terdahulu, lebih 2,000 ahli dan pemerhati telah hadir pada persidangan itu.

Arifin yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, setakat ini Gagasan Rakyat Membakut telah memiliki hampir 8,000 ahli.
Namun beliau menegaskan bahawa tumpuan utama ialah menyantuni lebih 19,000 penduduk di kawasan ini, termasuk bukan ahli parti.
“Kita bukan tunggu pilihan raya baru mahu turun padang. Kita akan terus beri khidmat dan bantu masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA