HomeUtamaWanita Gagasan Rakyat Likas sokong GRS bergerak secara solo

Wanita Gagasan Rakyat Likas sokong GRS bergerak secara solo

Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Wanita Gagasan Rakyat Likas menyatakan sokongan sepenuhnya agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sebagai langkah berani dan strategik demi kestabilan politik serta pembangunan negeri.

Usul tersebut dibawa oleh Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din, dalam Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Likas yang berlangsung di sini, hari ini.

“Wanita Gagasan Rakyat Likas menzahirkan tekad akan berdiri teguh menyokong dan mengusulkan agar GRS bergerak secara solo menghadapi PRN17. Ini langkah tepat demi memastikan hala tuju negeri terus dipimpin oleh kepimpinan yang bersih, telus dan fokus kepada pembangunan rakyat,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Halizah turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk terus diangkat dan dikekalkan sebagai Ketua Menteri selepas PRN17.

“Kami percaya melalui usul ini, perjuangan GRS akan lebih diyakini rakyat dan mandat akan terus diberikan kepada kepimpinan parti demi masa depan Sabah yang lebih baik,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya berlaku sesuatu di luar perancangan, GRS harus bersikap terbuka dan mencari rakan strategik yang benar-benar ikhlas demi kepentingan rakyat.

“Jika berlaku sesuatu di luar perancangan, carilah rakan strategik yang benar-benar ikhlas bukan kerana jawatan atau nama, tetapi demi rakyat Sabah.

“GRS bukan sahaja gabungan politik, tetapi satu pasukan yang memahami denyut nadi rakyat Sabah, berteraskan perjuangan tempatan, untuk rakyat tempatan.

“GRS mesti menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti yang telah hilang arah. Kita berdiri atas prinsip, bukan atas nostalgia,” tegasnya.

Halizah juga menyatakan, bilangan kerusi yang dimenangi GRS kelak harus dijadikan asas kepada rundingan pembentukan kerajaan.

“Sama ada kita bentuk kerajaan sendiri, atau menjadi kuasa penentu dalam rundingan rakyat akan tentukan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular