Penampang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah merancang untuk memperluas penganjuran pertandingan sukan tradisi ke seluruh daerah di negeri ini.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, usaha ini adalah bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara dan tidak dilupakan oleh masyarakat khususnya dari kalangan generasi muda.
“Sukan tradisi seperti gusti lengan, melastik, menyumpit, membujak, sukan mopiri dan pelbagai permainan lain bukan sekadar hiburan, tetapi lambang warisan budaya yang perlu diteruskan oleh generasi muda.

“Kita kini berada dalam era moden dan pesat dengan sukan elektronik (E-spot), namun para belia tidak wajar melupakan akar budaya kita sendiri terutama sukan tradisi yang menjadi kebanggaan generasi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui media sejurus merasmikan Pertandingan Sukan Tradisi sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan SMK Bahang di sini pada Sabtu.
Fairuz berkata, pertandingan tahun ini menyaksikan penyertaan yang menggalakkan dan menjadi bukti bahawa masih ramai belia Sabah yang menghargai sukan tradisi.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan aktif belia dalam program seumpama itu, dan menyeru agar usaha memartabatkan sukan tradisi dijadikan agenda berterusan.

“Dengan sokongan agensi seperti Lembaga Sukan Negeri Sabah, KBS dan rakan strategik seperti Petronas serta Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) kita bercadang untuk memperluaskan pertandingan sukan tradisi ini ke zon-zon dan daerah-daerah utama di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penglibatan generasi muda amat penting dalam memastikan kesinambungan warisan budaya Sabah.
“Tanpa yang lama, tiada yang baru, tetapi jika yang baru tidak mengingati atau tidak meneruskan tradisi ini, maka permainan tradisi kita akan hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau turut menyeru para ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka untuk melibatkan diri dalam permainan tradisi, selain mengambil peluang membawa golongan muda menyaksikan pertandingan sukan tradisi sebagai usaha memupuk minat terhadap warisan budaya sejak seawal usia.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI Awang Dzulkernain Awang Hassan, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Masly Wahip dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.-