Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kerajaan menggesa tindakan bersepadu dan serius daripada semua pihak dalam menangani isu gangguan seksual yang semakin membimbangkan, susulan peningkatan ketara kes yang dilaporkan sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan daripada 477 kes pada 2022 kepada 522 kes pada 2023, dan melonjak kepada 788 kes pada 2024 dan sehingga Mac 2025, sebanyak 214 kes telah direkodkan, termasuk lima kes di Sabah.
“Peningkatan ini membuktikan bahawa masalah gangguan seksual semakin serius dan memerlukan usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta menyediakan saluran bantuan yang berkesan kepada mangsa,” katanya. ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Kembara Kasih KPWKM 2025 di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau, malam tadi.
Dalam majlis itu, beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Linda Ewit turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih Sabah sebagai destinasi utama bagi program tahun ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi; ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyerahan Notis Anti Gangguan Seksual kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, sebagai simbolik komitmen kerajaan dalam membanteras jenayah tersebut.
Dalam pada itu Dr. Joachim turut menegaskan tindakan segera bagi menangani kes gangguan seksual amat penting kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, umur, bangsa atau agama.
Tambah beliau lagi, lebih ramai mangsa gangguan seksual digesa tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Ramai mangsa masih takut untuk bersuara kerana stigma, tekanan sosial atau kurang maklumat. Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk memecahkan kebisuan itu,” katanya.
Dr. Joachim turut menekankan pentingnya sokongan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyokong mangsa.
Beliau juga menyokong penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai satu alternatif kepada mahkamah sivil, demi mempercepatkan proses aduan dengan kos yang lebih rendah.
Program Kembara Kasih KPWKM 2025, yang menjelajah enam daerah di Sabah termasuk Tuaran, Papar, Penampang, Lahad Datu, Kunak dan Tawau, disifatkan berjaya mencapai matlamatnya dengan pelaksanaan 34 program melibatkan pelbagai agensi KPWKM dan menyasarkan kumpulan rentan seperti wanita, kanak-kanak, warga emas dan OKU.