Oleh J. Evachel John
Kota Kinabalu: Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2025 disifatkan sebagai edisi paling sengit dan berkualiti sepanjang sejarah penganjurannya.
Ketua juri pertandingan, Clare Petrus Edwin, berkata peningkatan ketara dari segi kualiti vokal dan persembahan peserta membuktikan bahawa Sugandoi semakin kukuh sebagai platform berprestij yang menggilap bakat seni suara anak Sabah.

“Kualiti peserta tahun ini sangat baik. Saya rasa tahun ini merupakan tahun paling sengit dalam sejarah pertandingan Sugandoi. Barisan ‘Top 10’ sangat hebat, dan kami para juri pun agak sukar untuk membuat penilaian kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri,” katanya yang popular dengan lagu ‘Nung Noilaan Ku’.

Clare yang sudah tujuh tahun menjadi juri Sugandoi berharap barisan ‘Top 10’ finalis hebat ini tidak berhenti sekadar di pentas Sugandoi sahaja.

“Saya berharap mereka akan terus mengembangkan potensi sama ada dengan menyertai pertandingan lain, atau lebih penting lagi, menyumbang kepada perkembangan lagu-lagu dalam bahasa Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

“Walaupun tidak lagi bertanding, mereka masih boleh terus menyumbang sebagai penyanyi dan pencipta lagu etnik,” katanya.
Mengulas mengenai kemenangan Kimberley Myra Terence dari daerah Beluran yang dinobatkan sebagai juara, Clare antara lain berkata peserta itu memiliki kekuatan vokal, teknik nyanyian, dan keyakinan tinggi di atas pentas.

“Kimberley memiliki ‘tone’ suara yang baik, ‘strong vocal technique’, dan aura tersendiri. Persembahannya sangat berkeyakinan dan apabila menyanyi dia seolah seolah-olah sedang menyampaikan cerita. Walaupun ini pertandingan, dia tidak nampak gugup langsung.”

Ditanya sama ada latar belakang Kimberley sebagai penyanyi dan juara Bintang SANDAKANfm 2023 memberikan kelebihan, Clare menjelaskan bahawa perkara itu bukan penentu.
“Sebenarnya saya sendiri baru tahu dia penyanyi. Memang ada peserta lain yang saya tahu sudah ada lagu sendiri…. Tetapi bagi Kimberley, bukan latar belakang yang menjadi faktor kemenangan, sebaliknya cara dia membuat persembahan teutamanya pada malam ini (pertandingan akhir),” katanya.

Clare juga menekankan bahawa penganjuran Sugandoi bukan sahaja mencungkil bakat, malah memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

“Pertandingan ini menyatukan masyarakat untuk memberi sokongan padu kepada wakil daerah masing-masing, walaupun mereka tidak mengenali peserta secara peribadi. Ini bukti bagaimana acara kebudayaan seperti Sugandoi boleh menyatukan kita,” ujarnya.

Selain Clare, pensyarah muzik Adsone Matthew Mitty Gabu dan Ketua Kombo RTM Sabah Matlan Sukudat juga merupakan juri Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2025. – SABAH MEDIA