HomeUtama‘Saya ingat sudah mati’- detik cemas mangsa tanah runtuh dan banjir lumpur...

‘Saya ingat sudah mati’- detik cemas mangsa tanah runtuh dan banjir lumpur di Hidro Tenom Pangi

Read Time:4 Minute, 35 Second

Oleh Hanafi Mohd Ali, Normimie Diun

Video/Foto Yusof Mohamad, Mohd Zainal Zamzuri

TENOM: “Saya terus sebut nama Tuhan… saya ingat sudah mati.” Itulah detik penuh emosi yang masih segar dalam ingatan Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Ailey Jamal, 59, apabila terperangkap dalam runtuhan tanah lumpur, kayu dan batu besar yang melanda Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi (SJHTP) pada malam 31 Oktober 2022.

Sungai Padas yang mengalir deras di SJHPT.

Berpengalaman lebih 30 tahun di loji hidro itu, Ailey tidak menyangka malam tersebut akan menjadi peristiwa paling mencemaskan sepanjang kerjayanya.

https://www.facebook.com/share/v/16TkmMEvDB

Dari kiri Ailey, Petrus, Jimi dan Raffi.

“Kejadian berlaku sekitar jam 7.18 malam selepas hujan lebat turun sejak petang. Tiba-tiba gelap gelita, sistem trip… kami tidak tahu apa yang melanggar. Kayu ke, batu ke,” katanya ketika ditemui kru Sabah Media baru-baru ini.

Pos Kawalan Polis musnah ditimbuni runtuhan tanah dan batu akibat banjir besar yang melanda di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi pada 31 Oktober 2022.

Difahamkan Ailey dan rakan sekerjanya dikenali sebagai Yunus, terperangkap dalam sebuah pos kawalan polis yang dihentam aliran deras lumpur dan serpihan runtuhan. Pos kawalan itu hampir tenggelam, ditimpa kayu serta batu besar yang jatuh dari bukit berhampiran.

Selamat melalui celah satu meter

Menurut Ailey, satu-satunya pintu belakang pos kawalan yang tidak tertutup sepenuhnya menjadi penyelamat mereka.

“Kalau pintu belakang tu pun tertutup, memang kami habis malam tu. Mujur ada seorang kawan, Petrus A. Joanis, sanggup redah gelap bantu kami keluar,” katanya.

Dengan hanya bantuan lampu suluh dan keberanian, mereka merangkak keluar menyusuri celah sempit dipenuhi lumpur, kayu dan batu dalam keadaan gelap pekat.

“Saya tidak nampak apa-apa. Masa tu hanya fikir mahu selamatkan diri,” katanya lagi.

Trauma tanpa kecederaan fizikal

Walaupun terselamat tanpa kecederaan serius, Ailey mengakui tekanan emosi sangat berat.

“Sepanjang malam saya tidak tidur. Bila siang, baru kami nampak semua musnah. Pos kawalan lenyap, tiang elektrik patah, lori dan kren hampir masuk sungai.

“Terdapat juga beberapa kenderaan kakitangan yang rosak teruk akibat runtuhan dan banjir itu,” katanya.

Antara jentera dan beberapa kenderaan yang musnah akibat tragedi itu.

Beliau turut memberitahu, sebagai langkah pemulihan emosi, kakitangan terbabit menerima sesi kaunseling khas.

 “Kaunseling khas memang penting. Bukan semua orang boleh hadap trauma macam ni,” ujarnya.

Ketua syif hanya fikirkan keselamatan staf

Sementara itu, Ketua Syif SJHTP, Mohd Raffi Yahya, 40, berkata perkara pertama yang terlintas di fikirannya ialah keselamatan anak buahnya.

“Saya hanya fikir staf saya. Bukan diri saya,” katanya yang turut terperangkap bersama sembilan anggota lain selama hampir 18 jam.

Menurutnya, hujan lebat sejak petang menyebabkan takungan air semula jadi di bukit berdekatan pecah, mengakibatkan aliran banjir lumpur deras memasuki kawasan stesen.

“Air mula masuk ke kawasan transformer. Saya segera hubungi Load Dispatch Centre (LDC) untuk lakukan ‘total shutdown’ bagi keselamatan semua. Kami pisahkan stesen dari grid tepat jam 7.36 malam,” jelasnya.

Redah lumpur dan gelap demi nyawa

Apabila komunikasi terputus dan arus semakin kuat menenggelamkan tingkat bawah bangunan, mereka membuat keputusan untuk keluar menyelamatkan diri.

“Kami mula bergerak jam 10.30 malam ke pos kawalan polis bantuan kira-kira 200 meter dari bangunan utama. Tanpa makanan dan bekalan air mencukupi, kami redah dalam lumpur separas pinggang,” katanya.

Keesokan paginya, setelah dimaklumkan pasukan penyelamat hanya mampu tiba di kawasan intake, Raffi bersama lima staf lain berjalan kaki sejauh empat kilometer menempuh lebih 10 runtuhan, dengan batu-batu besar di sana sini sebelum tiba jam 11.30 pagi.

“Salah seorang rakan sekerja kami berusia 58 tahun menghidap diabetes dan saya risau dia tidak bawa insulin pada masa itu, tapi syukurlah semua saling bantu dan tiada yang cedera.

”Apabila sampai ke bangunan intake, barulah kami semua dapat dibawa keluar oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada Bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Tanggungjawab hingga ke hujung perkhidmatan

Salah seorang yang turut menyumbang besar semasa operasi pemulihan selepas tragedi ialah Penolong Jurutera kanan SJHTP, Jimi Sikul @ Dasiri, 60, yang kini hanya berbaki sebulan sebelum bersara selepas hampir empat dekad bersama Sabah Electricity.

“Waktu kejadian saya tidak bertugas, tapi saya terus ke lokasi. Kami jalan kaki keluar masuk sejauh enam kilometer bawa peralatan bantu pasukan pemulihan,” katanya yang turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas dedikasi tinggi sepanjang kerjaya pada bulan lalu.

Jimi yang memulakan kerjaya di Sabah Electricty sejak 1986 (pada ketika itu dikenali sebagai Lembaga Letrik Sabah), melalui era analog ke digital, tetap komited belajar menyesuaikan diri.

“Dulu semua pakai suis manual. Sekarang, dari pejabat di Kota Kinabalu pun boleh kawal turbin di Tenom. Kami yang lama-lama ni kena juga belajar,” katanya.

Pesanan buat generasi baharu dan masyarakat

Jimi menyeru warga kerja muda Sabah Electricity supaya terus memegang nilai integriti dan disiplin.

“Kalau janji siap jam 5, cubalah siap sebelum tu. Jangan banyak alasan,” katanya.

Beliau turut berharap masyarakat lebih memahami cabaran sebenar petugas di lapangan.

“Bila blackout, orang cepat marah dan viral. Tapi mereka tidak tahu kami bertungkus-lumus dalam hujan, gelap, risiko tinggi dan alat ganti pun kadang tidak cukup,” katanya.

SJHTP kembali beroperasi

Selepas lebih dua tahun tergendala, SJHTP kini kembali beroperasi. Majlis perasmian semula stesen itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, pada 14 Mei lalu.

Shahelmey (kiri) menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran pengoperasian semula dengan penuh kapasiti 66 MW Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi sambil diperhati Madius, Mohd Yaakob dan tetamu jemputan lain di SJHTP di sini, pada 14 Mei 2025.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular