HomeUtamaMICF 2025 himpun lebih 160 pempamer, termasuk antarabangsa

MICF 2025 himpun lebih 160 pempamer, termasuk antarabangsa

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu: Penganjuran ‘Malaysia International Cocoa Fair’ (MICF) 2025 yang julung kali diadakan di negeri ini bakal menghimpunkan lebih 160 pempamer dari dalam dan luar negara.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr Ramle Kasin berkata, ia sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama industri koko serantau.

“Ini kali pertama kita adakan MICF di Sabah. Ia bukan sekadar pameran, tetapi satu usaha strategik untuk menyatukan semua pemain industri koko dari peringkat huluan hingga hiliran, membina jaringan niaga serta mempromosikan inovasi dalam industri koko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui  selepas sesi mengadakan ‘walkabout’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.

MICF 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 27 Mei akan mempamerkan pelbagai produk berasaskan koko, termasuk inovasi dalam pemprosesan, makanan, kosmetik dan penjagaan kulit. 

Lebih 20 peratus penyertaan adalah daripada syarikat antarabangsa, termasuk dari China, Indonesia, Singapura, Eropah dan Afrika. 

“Kita jangkakan lebih 30,000 pengunjung akan hadir sepanjang empat hari penganjuran.

“Malah kita telah jalankan promosi sejak beberapa bulan lalu dan menawarkan pelbagai insentif termasuk hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia, motosikal dan dua buah ATV untuk menarik pengunjung bertuah,” katanya.

Pameran dibuka kepada orang awam bermula jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari, dan turut menampilkan demonstrasi membuat coklat, pertandingan pembuatan coklat serta ruang khas mempamerkan mesin pemprosesan moden untuk koko dari negara-negara Eropah seperti Itali.

Mengulas tentang perkembangan semasa industri koko negara, Ramle berkata Sabah menunjukkan lonjakan prestasi pengeluaran koko tahun ini berbanding sebelumnya, didorong oleh peningkatan harga pasaran yang kini mencecah RM30,000 satu tan.

“Permintaan koko semakin meningkat dan ini membuka peluang ekonomi baharu khususnya kepada pekebun kecil di Sabah. 

“Ramai tidak tahu, selain makanan, koko juga digunakan dalam pembuatan kosmetik, produk kesihatan dan penjagaan diri,” katanya.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi serta LKM telah memperhebat usaha membantu penanam koko termasuk dalam bentuk insentif, pemulihan tanaman dan teknologi baru, dengan harapan pengeluaran koko negara dapat terus dipertingkatkan.

Penganjuran MICF 2025 di Sabah dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan industri koko di Malaysia Timur, dan memperluas peluang kepada pengusaha tempatan untuk menembusi pasaran global melalui inovasi, rangkaian serta akses kepada teknologi antarabangsa.

“Dengan harga koko global yang kini kukuh, kita yakin pemain industri akan lebih berdaya saing dan mampu menarik pelaburan asing. MICF ini menjadi langkah awal ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab koko berkelas dunia,” katanya.

Turut hadir meninjau persiapan akhir MICF 2025 adalah Pengerusi LKM Datuk Matbali Musah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maznah Abdul dan Pengarah Bioteknologi LKM Dr Albert Ling Sheng Chang.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular