Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Program Kembara Kasih anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya melengkapkan misi kembara sejauh hampir 400 kilometer merentasi enam daerah di Sabah tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan penutup di Tawau malam tadi, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut yang berlangsung dari 16 Mei lalu.
“Saya amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang sudi merasmikan program ini di Tuaran serta Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang turut bersama kita pada malam ini.
“Sesungguhnya orang Sabah memang terbaik… Teruslah menyokong segala aktiviti yang Kementerian kami laksanakan,” katanya sambil menzahirkan terima kasih kepada rakyat Sabah atas sambutan hangat sepanjang program berlangsung.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi pada majlis penutupan program itu yang disempurnakan Dr. Joachim di Dewan Tertutup Stadium Kompleks Sukan Tawau, malam tadi.
Program Kembara Kasih tahun ini melibatkan perjalanan sejauh hampir 400km meliputi Tuaran, Papar, dan Penampang (Zon 1), serta Lahad Datu, Kunak dan Tawau (Zon 2), dengan 10,119 rakyat Sabah menerima manfaat secara langsung melalui 34 program yang dijalankan.
Antara pencapaian utama program tahun ini termasuk pelancaran Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak pertama di Sabah, serta ziarah kebajikan ke atas 14 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sepanjang laluan konvoi.
“Program seumpama ini menuntut komitmen yang tinggi. Namun, dengan sokongan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Sabah, segalanya berjalan lancar.
“Kami berharap kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri ini dapat mempercepatkan usaha pembangunan sosial kepada kumpulan sasar.
“Semoga kembara kali ini mendatangkan impak yang positif kepada semua pihak khususnya golongan di peringkat akar umbi dan dapat dikembangkan ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, ” tambah Nancy.
Beliau turut menyeru agar sokongan padu daripada rakyat Sabah diteruskan demi kejayaan pelbagai inisiatif kebajikan pada masa hadapan.