HomeUtamaUsaha memperkasa wanita dengan fokus pendidikan, keusahawanan dan politik

Usaha memperkasa wanita dengan fokus pendidikan, keusahawanan dan politik

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Usaha memperkasa wanita dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan strategik dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan politik.

Dr Rosmahwati

Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Dr Rosmahwati Lasuki, berkata tumpuan tersebut selaras dengan hala tuju kerajaan negeri dalam memastikan wanita memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri dan negara.

Menurut beliau, aspek pendidikan penting bagi menyediakan perancangan kesinambungan jawatan, memastikan calon wanita yang berkebolehan dan sesuai mengisi kekosongan.

“Kita perlu ada perancangan kesinambungan, sekiranya ada jawatan perlu diisi. Kita harus diberikan peluang yang sama untuk dipertimbangkan, bukan sebagai hak wanita tetapi berdasarkan merit untuk memegang jawatan tersebut,” katanya dalam sidang media di Majlis Hi-Tea JHEWA (Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah) dan MPWS Bersama Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hadir sama Pengarah JHEWA Haslina Ismail.

Dalam bidang keusahawanan, Dr Rosmahwati berkata, usaha membantu wanita memasarkan produk tempatan ke peringkat global dipergiatkan.

“Apabila kami membantu keusahawanan, produk tersebut mesti boleh memasuki pasaran global… Jika hanya di Sabah sahaja, populasinya sekitar empat juta orang. Tetapi di ASEAN, Filipina, Indonesia dan Brunei, jumlahnya mencapai 89.9 juta. Oleh itu, saya katakan kerjasama strategik sangat penting,” ujarnya.

Dalam bidang politik pula, Dr Rosmahwati menjelaskan pihaknya memberi fokus kepada latihan dan persediaan wanita supaya benar-benar matang untuk memegang jawatan kepimpinan, sama ada dalam politik atau sektor korporat.

“Kami tidak bertanggungjawab mencalonkan wanita secara langsung, tetapi menyediakan pelan strategi dan latihan supaya calon wanita yang dipilih matang dan berdaya saing,” katanya.

Beliau menegaskan wanita yang diberi peluang mesti memberikan prestasi terbaik supaya membuka ruang lebih luas kepada wanita lain.

Beliau turut menyeru wanita agar mempersiapkan diri dengan ketahanan mental dan mengimbangi kehidupan kerja serta keluarga supaya dapat mencapai kejayaan dalam kepimpinan.

“Jalan pintas akan menyebabkan kegagalan yang lebih teruk. Jadi kita perlu lalui setiap tahap pembangunan insan. Ketahanan mental adalah paling penting… Jika kita tidak seimbang, keluarga akan gagal, maka kita tidak dapat menumpukan perhatian dalam kerja,” katanya.

Dr Rosmahwati turut memaklumkan bahawa MPWS akan turun padang ke kawasan luar bandar dan bandar bagi mendengar keperluan sebenar wanita sebelum merangka pelan tindakan yang lebih berkesan.

“Kita perlu memberi perkhidmatan kepada wanita. Oleh itu, kita perlu mengetahui apa yang wanita perlukan. Sebab itulah kita akan turun ke daerah-daerah lain dan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin di luar bandar dan bandar,” katanya.

Tujuan Majlis Hi-Tea itu diadakan untuk memperkenalkan barisan ahli jawatankuasa baharu yang mewakili JHEWA dan MPWS serta memberi peluang kepada semua pihak untuk bersuai kenal.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular