Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU Rekaan unik dan menyerlah membolehkan Nazlee Roslee dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Chocolate Fantasy Runway Challenge (CFRC) 2025.

Nazlee meraih Best Design Award hasil ciptaan berani yang menggabungkan inspirasi etnik Murut Sabah dengan elemen bertemakan coklat.
Edisi kedua pertandingan fesyen anjuran Malaysia Association of Ethical Fashion Designers (MAEFD) itu diadakan bersempena dengan Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.

Dengan tema “Choco Neo Culture” tahun ini, para pereka diberi cabaran untuk bereksperimen dengan bentuk inovatif, bahan lestari serta penceritaan yang berkisar pada budaya dan ekspresi kontemporari.
“Saya sangat gembira.Terima kasih kepada semua yang terlibat. Ini adalah hasil usaha berpasukan,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada modelnya, Sweet Chin Yee Hiu dan jurusolek Noorjana Rikun atas sokongan yang banyak membantu menjayakan visi rekaannya.
Nazlee, yang merupakan pereka sambilan dan pegawai Imigresen sepenuh masa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), berkata rekaannya disiapkan selama seminggu.
Meskipun masa yang terhad, Nazlee berjaya menghasilkan busana yang kaya dengan perincian buatan tangan, termasuk komponen resin yang memerlukan hingga dua hari untuk kering sepenuhnya.
Katanya, ilham rekaannya diambil daripada pakaian tradisional komuniti Murut, digabungkan dengan pendekatan moden dan mesra alam termasuk penggunaan resin epoksi, kerja menggunakan pistol gam, serta teknik lapisan fabrik.
Tambahnya, rekaannya itu pada asalnya dirancang untuk disertakan aksesori pinggang berwarna-warni yang sinonim dengan pakaian tradisi Murut, namun terpaksa diubah saat akhir kerana kekangan masa.
Nazlee berkata proses kreatifnya bermula dengan penyelidikan secara dalam talian, diikuti lakaran dan beberapa pengubahsuaian bagi menyesuaikan dengan bahan yang ada dan kebolehlaksanaan reka bentuk
Menurut Nazlee, ini merupakan kali pertamanya menyertai acara yang sejajar dengan festival koko bertaraf antarabangsa itu, dan beliau menganggap ia peluang untuk kembali menghidupkan semula minatnya dalam dunia rekaan.
Beliau mendedahkan bahawa meskipun sudah lebih sedekad berkecimpung dalam bidang rekaan, kerjaya tersebut hanya dijalankan secara sambilan memandangkan tuntutan tugas sebagai penjawat awam yang sudah hampir 20 tahun disandangnya.
“Saya sudah menjahit sebelum menyertai perkhidmatan awam.
“Kemenangan ini memberikan saya semangat untuk teruskan minat ini,” katanya yang mengakui agak sukar untuk membahagikan masa antara pekerjaan dan minatnya.
Enam peserta mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Naib juara dan tempat ketiga menjadi milik Alesha Lenson dan Fatin Fatinah Rusdi. Kesemua peserta menampilkan interpretasi kreatif mereka terhadap tema “Choco Neo Culture”.
Sementara itu, presiden MAEFD, Zayana Yazed berkata acara ini lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen, sebaliknya satu perayaan terhadap visi kreatif, kelestarian dan prinsip fesyen beretika.
“Pertandingan ini bertujuan untuk memperkasakan pereka tempatan serta menyediakan platform kebangsaan untuk pendedahan, jaringan dan perkembangan profesional,” katanya.
Zayana turut menekankan bahawa CFRC adalah sebahagian daripada gerakan lebih besar untuk membentuk semula masa depan fesyen Malaysia melalui pendekatan lestari, berbudaya dan inovatif.
MAEFD yang diasaskan oleh tenaga pengajar fesyen, pereka dan perunding industri, terus menyokong inisiatif yang mempromosikan reka bentuk beretika dan memperkasakan komuniti kreatif.
Hadiah disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Perkeso Sabah, Caira Geoffrey Abdullah.