Oleh J. Evachel John
PENAMPANG: Percubaan kali kedua membawa tuah kepada penyampai radio, Alice Lydia Marius, apabila beliau dinobatkan sebagai juara Pertandingan Zandi Tavanus Peringkat Negeri Sabah 2025 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.
Mewakili Kota Kinabalu, Alice, 48, membawa pulang wang tunai RM6,000, mahkota, trofi, serta pelbagai hadiah tajaan lain.
Bertemakan “Popoimagon Sunduvan Do Tina” (Memperkasakan Wanita) edisi tahun ini menyaksikan seramai 54 peserta dari Sabah, Labuan dan negeri-negeri lain di Malaysia menampilkan keunikan pakaian tradisi, kemahiran pengucapan awam serta pengetahuan budaya.
Tempat kedua dimenangi oleh Anita Lambagat yang mewakili Penampang, manakala tempat ketiga disandang oleh Marina Mikat dari Keningau. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan RM3,000, serta trofi dan hadiah tajaan lain.
Senarai tujuh finalis terbaik turut merangkumi Roniem Talah dari Matunggong yang menduduki tempat keempat; Cecilia Riymante dari Likas di tempat kelima; Rasmoi Otong dari Banggi di tempat keenam; dan Jusneh Julian dari Papar yang berada di tempat ketujuh.
Hadiah utama disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.
Ketika ditemui media, Alice yang pernah bertanding pada tahun 2023 mewakili Putatan dan meraih tempat kedua, berkata beliau tidak menyangka akan menang memandangkan saingan amat sengit tahun ini, terutama dalam segmen soal jawab.
Menurutnya, kemenangan itu merupakan impian yang menjadi kenyataan kerana sejak muda beliau bercita-cita menjadi seorang Unduk Ngadau, namun tidak pernah menang dalam pertandingan Unduk Ngadau yang disertainya sebelum ini.
Alice turut menyifatkan kemunculan semulanya di pentas Zandi Tavanus 2025 sebagai satu kebangkitan bermakna, yang didorong oleh misi peribadi untuk memartabatkan bahasa Kadazan, yang turut digunakannya semasa bertugas di Sabah Vfm.
Walaupun berlatar belakangkan kerjaya sebagai penyampai radio, pengacara majlis, penyanyi dan juga penulis lagu, Alice mengakui masih berasa gemuruh.
“Walaupun saya bekerja sebagai penyampai radio, debaran di atas pentas memang sukar digambarkan… tekanannya sangat kuat, dan bila-bila masa saja saya boleh hilang fokus. Ini adalah percubaan kedua saya, dan untuk percubaan kedua, sudah tentu saya mahu tampil dengan lebih kuat,” katanya.
Tambahnya, penyertaannya bukan sekadar untuk kepuasan peribadi, tetapi juga sebagai usaha untuk memberi inspirasi kepada wanita berstatus isteri dan ibu agar terus mengejar minat serta membina keyakinan diri.
Beliau menekankan bahawa status sebagai ibu tidak sepatutnya menghalang wanita untuk tampil di platform awam walaupun rupa atau bentuk tubuh mereka telah berubah, malah menggalakkan wanita lain untuk mencuba walaupun berdepan persepsi masyarakat.
“Jangan malu untuk mencuba. Menyertai pertandingan ini dapat meningkatkan keyakinan diri dan membantu kita berusaha mencapai impian serta kejayaan,” katanya, yang kini semakin bersemangat untuk mengembangkan kelas pengajaran bahasa Kadazan.
Alice telah memulakan kelas bahasa Kadazan tahun lalu khusus kepada peserta Unduk Ngadau dan Buvazoi Tavantang. Kini beliau merancang untuk membuka kelas tersebut kepada semua yang berminat, serta melatih lebih ramai belia menjadi penyampai dan pengucap bahasa Kadazan masa depan.
“Masih kurang penyampai muda yang menggunakan bahasa Kadazan dalam bidang penyiaran, dan saya berharap kelas bahasa Kadazan yang saya anjurkan dapat melahirkan lebih ramai generasi muda yang fasih berbahasa Kadazan dan berpotensi menjadi penyampai radio,” katanya.