Oleh Sitti Nor Azizah Talata
KALABAKAN: Program Mahkamah Bergerak anjuran Mahkamah Kota Kinabalu terus komited dalam memberikan perkhidmatan perundangan kepada masyarakat luar bandar di Sabah, khususnya kawasan pedalaman yang sukar diakses.

Menurut Pegawai Operasi Mahkamah Bergerak Kota Kinabalu, Pitrus Lee, program tersebut yang bermula sejak 2006 telah berjaya melawat lebih 90 lokasi di seluruh negeri dan menyelesaikan kira-kira 80 peratus isu yang dihadapi penduduk setempat.
“Kita menyediakan penyelesaian secara terus dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Setelah proses pengesahan dokumen selesai di mahkamah, pemohon boleh terus ke kaunter JPN yang hadir bersama kami tanpa perlu ke bandar,” jelas beliau.
Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Program Mahkamah Bergerak Daerah Kalabakan dihadiri lebih 300 pengunjung di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, semalam.
Program kali ini merupakan lawatan ketiga ke Kalabakan, selepas kunjungan terdahulu termasuk di Luasong pada tahun 2015.
Pitrus berkata, antara isu yang sering dihadapi penduduk ialah masalah dokumentasi seperti sijil perkahwinan yang tidak teratur, terutamanya apabila melibatkan pasangan warga asing.
“Apabila perkahwinan tidak sah di sisi undang-undang, status anak biasanya ikut ibu, walaupun bapa merupakan warganegara. Ini menjejaskan hak anak untuk mendapatkan kerakyatan,” tambah beliau.
Program tersebut turut melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak peguam yang memberikan khidmat nasihat undang-undang secara percuma.
Selain itu, ia juga menyediakan khidmat bagi pendaftaran kelahiran lewat, isu yang turut dikenal pasti berlaku secara meluas di Kalabakan dan kawasan lain di Sabah.
“Tujuan utama kami adalah untuk membantu masyarakat luar bandar yang menghadapi kekangan dari segi kos, masa dan jarak untuk mendapatkan perkhidmatan mahkamah di pekan atau bandar.
“Program turun padang seperti ini membolehkan kami dapat menyampaikan khidmat yang lebih menyeluruh dan efisien,” katanya lagi.
Menurut beliau, Program Mahkamah Bergerak dijangka akan diteruskan ke lebih banyak lokasi dalam usaha memperkukuh akses kepada keadilan dan hak perundangan di seluruh Sabah.