HomeUtamaSabah terus komited perkasa wanita - Redonah

Sabah terus komited perkasa wanita – Redonah

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dalam memperkasakan wanita melalui peruntukan yang signifikan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda, berkata antara inisiatif utama yang telah diperuntukkan termasuklah RM9.73 juta yang disalurkan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), dengan peningkatan sebanyak 55.18 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kapasiti institusi yang menjaga hal ehwal wanita.

“Seterusnya, sebanyak RM11.6 juta diperuntukkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi memperluas program kredit mikro, terutamanya kepada golongan usahawan wanita di seluruh Sabah.

“Selain itu, RM10 juta disediakan untuk Program Keusahawanan Wanita Muda, yang menawarkan pinjaman mikro dengan kadar faedah yang kompetitif bagi membantu wanita muda memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya ketika berucap sempena Pertandingan Akhir Zandi Tavanus Peringkat Negeri Sabah 2024 di Dewan Kebudayaan Penampang, hari ini.

Redonah berkata peruntukan-peruntukan ini bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, malah ia turut merangkumi pelbagai inisiatif seperti program kesedaran mengenai perkahwinan awal kanak-kanak, pembangunan keusahawanan wanita, dan perkhidmatan klinik guaman untuk membantu wanita memahami dan mempertahankan hak mereka.

Selain itu, Redonah berkata, Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 untuk usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni negeri.

“Peruntukan ini bertujuan untuk memartabatkan budaya etnik, memperkukuh identiti negeri, serta menyokong aktiviti seni dan budaya yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Sabah.”

Redonah turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Jawatankuasa Penganjur dan berharap program seperti ini akan terus menjadi pencetus inspirasi kepada para wanita dari seluruh pelosok Sabah untuk berani tampil ke hadapan mengangkat budaya dengan penuh keyakinan dan kebanggaan.

“Zandi Tavanus bukan sekadar sebuah pertandingan tetapi ia adalah jambatan yang menghubungkan tradisi silam dengan arus kemodenan; satu ruang di mana akar budaya tidak dilupakan, bahkan terus disuburkan dalam wajah zaman yang sedang berubah menuju masa depan.

“Kemenangan sebenar bukan hanya pada mahkota, tetapi pada keberanian untuk melangkah dan mengangkat maruah budaya dengan penuh yakin dan bangga,” katanya.

Turut hadir, pengerusi dan penyelaras Zandi Tavanus Negeri, Dr. Albert Oliver Vincent, serta johan Zandi Tavanus Peringkat Negeri Sabah 2024, Betsy Vine Sidion.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular