KOTA MARUDU: Tiga warga Filipina dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Kota Marudu hari ini selepas didapati bersalah memiliki kira-kira 865 kilogram hasil haiwan penyu hijau (Chelonia mydas) yang disimpan dalam 39 karung dan 14 kotak.
Tertuduh, Erwin Monares Cornendo, 39, Rudyzon Darol Infante, 37, dan Arnel Menianto Getes, 52, ditahan pada 27 September 2023 oleh anggota Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Sabah berdekatan Simpang Mengayau, Kudat.
Kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk siasatan lanjut dan tindakan pendakwaan.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan memiliki hasil hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dan denda RM220,000 terhadap setiap tertuduh. Jika gagal membayar denda, mereka akan dikenakan hukuman tambahan penjara selama lapan bulan.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd. Soffian Abu Bakar berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah amat menghargai kerjasama dan tindakan pantas anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Kudat yang berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan hasil penyu di perairan Sabah. Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan kita dalam melindungi spesies marin terancam, khususnya penyu hijau,” katanya.